Thursday, June 2, 2011

Kembalikan hak royalti kepada rakyat Kelantan

PUTRAJAYA – Jawatankuasa Bertindak Anak Kelantan Perantauan menuntut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menunaikan royalti kepada rakyat Kelantan seperti yang dijanjikan.

Pengerusinya, Apandi Mohamad berkata, Petronas dituntut melunaskan bayaran tunai tertangguh dan bayaran masa depan atas minyak yang dihasilkan di pantai Kelantan.

Menurutnya, mengikut perjanjian dengan Petronas sebagaimana yang dikehendaki oleh Akta Kemajuan Petroleum 1974, setiap negeri akan menerima lima peratus daripada nilai petroleum yang dijumpai dan diperoleh dalam atau luar kawasan perairan negeri itu.

“Najib diharapkan dapat menunaikan janji pengembalian hak wang royalti kerajaan Kelantan sama seperti yang diperoleh kerajaan Terengganu.

“Pembayaran juga perlu dilakukan segera oleh Petronas kepada kerajaan Kelantan sebagaimana Akta Pembangunan Petroleum 1974,” katanya.

“Bayaran tunai royalti sepatutnya dibayar kepada Kerajaan Negeri dan tidak dibayar kepada mana-mana pihak lain atas apa jua alasan sekalipun,” katanya.

Semalam, satu memorandum diserahkan kepada Perdana Menteri melalui Pegawai Khas di Pejabat Perdana Menteri, Asrul Affendi berhubung desakan bayaran royalti minta disegerakan.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Mohamad Sabu yang turut hadir pada sesi penyerahan memorandum itu berkata, perjanjian yang dilakukan diharapkan bukan berdasarkan parti yang memerintah.

Perjanjian katanya adalah antara Kerajaan Negeri, Kerajaan Persekutuan dan Petronas (sebagai badan yang diamanahkan).

“Isu pengeluaran petroleum sebagai hasil bumi negeri Kelantan adalah satu isu yang amat serius dan harus diselesaikan secara melampaui batasan kepentingan politik yang sempit.

“Malah, royalti sebanyak lima peratus seperti dalam perjanjian sepatutnya perlu ditingkatkan kepada 20 peratus berdasarkan lebih banyak hasil yang akan diperoleh,” katanya.

Mohamad berkata, peraturan perjanjian tetap akan dipatuhi segera sekiranya Pakatan Rakyat (PR) berjaya menakluki Putrajaya pada pilihan raya akan datang.SH

No comments:

Post a Comment