Wednesday, June 22, 2011

Pinjam bank RM3j

SHAH ALAM: Seorang saksi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, bahawa bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir meminjam RM3 juta daripada HSBC bagi membiayai pembelian dua lot tanah dan rumah di Seksyen 7, pada Mei 2007.

Bekas Pengurus Pusat Premier HSBC Petaling Jaya, Chuah Yew Tean berkata, pihaknya meluluskan permohonan itu berdasarkan laporan penilaian firma Rahim & Co yang menyatakan hartanah itu bernilai RM3.5 juta.


Saksi pendakwaan ke-14 itu berkata, pihak bank menawarkan pembiayaan 90 peratus daripada nilai hartanah atau harga pembelian, mengikut nilai mana yang lebih rendah. Beliau berkata demikian ketika pemeriksaan utama Timbalan Pendakwa Raya Masri Mohd Daud pada perbicaraan kes dakwaan salah guna kuasa Dr Mohamad Khir, di sini, semalam.

Mengikut pertuduhan, Dr Mohamad Khir, 46, didakwa memperoleh dua lot tanah dan rumah di nombor 8 dan 10, Jalan Suasa 7/1L bagi diri dan isterinya, Zahrah Kechik, 46.


Ia diperoleh daripada Pengarah Urusan Ditamas Sdn Bhd (Ditamas), Shamsuddin Hayroni, 55, yang mempunyai hubungan dengan tugas rasminya.


Hartanah itu dibeli Dr Mohamad Khir pada harga RM3.5 juta, sedangkan ia dibeli Ditamas pada 23 Disember 2004 dengan harga RM6.5 juta.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Panjang itu didakwa melakukan perbuatan itu di kediaman rasmi Menteri Besar di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7 di sini, pada 29 Mei 2007.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Chuah berkata, sebelum perjanjian itu, pihaknya dimaklumkan bahawa Dr Mohamad Khir yang juga salah seorang daripada pelanggan ‘Premier’ HSBC ingin memohon pembiayaan kewangan. Menurutnya, pelanggan Premier adalah mereka yang mempunyai simpanan tetap melebihi RM200,000 di HSBC. Susulan itu katanya, dia menghubungi ahli politik itu dan Dr Mohamad Khir memaklumkan ingin membeli hartanah di Seksyen 7 di sini, pada harga antara RM3 juta hingga RM3.5 juta. Katanya, bagi tujuan penilaian, beliau bersama dengan penilai dari Rahim & Co dan Shamsuddin ada melawat tapak hartanah yang dimaksudkan.


Terdahulu, Hakim Datuk Mohtarudin Baki menegur portal berita, Malaysiakini berhubung petikan dalam laporan kes dakwaan salah laku bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir, kelmarin yang tidak tepat.


Beliau berbuat demikian selepas Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Wahab Mohamed memaklumkan kesilapan dalam artikel bertajuk “Saksi: PKNS (Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor) lupus Bon Pelaksanaan syarikat Shamsuddin”.


“Saya betul-betul meminta pemberita supaya membuat laporan yang benar.


“Saya berharap Malaysiakini akan lebih berhati-hati pada masa hadapan,” katanya.


Terdahulu, Abdul Wahab berkata, laporan portal bahawa tindakan PKNS tidak mengenakan Bon Pelaksanaan terhadap Roniaga Sdn Bhd yang turut dimiliki Shamsuddin sebagai ‘jarang dilakukan’ adalah tidak tepat.


Beliau berkata, tiada soalan dikemukakan Mohtarudin terhadap saksi pendakwaan ke-11, bekas Pengurus Besar PKNS, Datuk Harun Salim berhubung perkara itu ketika perbicaraan kes itu, kelmarin.


Katanya, ini berdasarkan nota keterangan mahkamah. “Apa yang dilaporkan adalah menyimpang jauh. Saya yakin mahkamah memerlukan laporan yang adil, tepat dan munasabah,” katanya.

myMetro | Pinjam bank RM3j

No comments:

Post a Comment