Thursday, June 23, 2011

Taib nafi dakwaan

KUCHING: Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud menafikan sekeras-kerasnya beliau memiliki akaun Bank Swiss, aset mahupun pelaburan di Switzerland seperti didakwa sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Dana Burno Manser (BMF) sebelum ini.

“Satu pertuduhan dibuat sebuah laman web dianggap tidak beretika. Baru-baru ini, Switzerland mahu menjalankan siasatan ke atas sumber aset saya di negara terbabit.


“Sejak BMF membuat pertuduhan itu, semua pihak terutama pembangkang mengambil kesempatan untuk memanipulasi isu berkenaan.

“Dakwaan dibuat BMF secara jelas palsu dan terbukti hanya untuk menjejaskan kerjaya politik saya berdasarkan rekod BMF yang kerap menyerang Sarawak sejak dulu lagi.


“BMF mempunyai rekod lampau membuat pelbagai dakwaan dan tuduhan palsu dengan mendakwa kerajaan negeri memotong sehingga 90 peratus hutan hujan, sedangkan pakar perhutanan tempatan dan antara bangsa mengesahkan 70 peratus hutan kita masih dilindungi.


“Berikutan itu, dakwaan palsu BMF mengenai aset saya di Switzerland adalah usaha berterusan pihak itu yang mahu memburukkan nama Kerajaan Sarawak dan pemimpinnya,” katanya ketika berucap pada Persidangan Penggal Pertama DUN Sarawak Kali Ke-17, semalam.

Abdul Taib yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Balingian berkata, perkara berkenaan sudah dibawa kepada pengetahuan Presiden Switzerland bulan lalu melalui surat dan memaklumkan dakwaan dilemparkan adalah tidak berasas.

“Di dalam surat berkenaan, saya meminta beliau mengesahkan sama ada terdapat arahan BMF kepada Lembaga Penyelia Pasaran Kewangan Switzerland (FINMA) supaya menyiasat saya dengan pelbagai dakwaan.

“Saya juga sudah meminta dakwaan itu diserahkan kepada saya supaya tindakan undang-undang sesuai boleh diambil,” katanya.

myMetro | Taib nafi dakwaan

No comments:

Post a Comment