Saturday, July 30, 2011

Ibu teringin jumpa anak lelaki









KEMAHANG TIGA - Seorang warga emas di sini, amat berharap dapat bertemu dengan anak lelakinya yang dibawa bekas suami selepas mereka bercerai.

Ramlah Mat Salleh, 61, sudah 30 tahun terpisah dengan Syahrul Azwan Alias, anak keempatnya daripada lima beradik dengan suami pertama dahulu.

Ramlah kini hilang punca untuk mencari Syahrul sejak dia dan suami pertamanya,

Alias Hasan, 61, bercerai pada awal 1980-an.

“Apabila bercerai, suami membawa Syahrul bersama dan berkahwin lain.

“Sejak dari itu, saya tidak lagi bertemu dengan mereka,” katanya.

Ramlah berkata, kali terakhir bertemu adalah ketika Syahrul berumur enam tahun apabila bekas suaminya datang menziarahinya.

“Selepas itu, saya tidak lagi berjumpa dengan dia kerana bekas suami dikatakan berpindah ke Pengkalan Hulu, Perak.

“Untuk mencarinya, memang sukar kerana kami tidak lagi berhubung kerana tiada alamat dan nombor telefon yang dapat dihubungi, malah saudara mara sebelah suami juga sudah tidak berhubung.

“Saya sangat rindu untuk berjumpa dengan Syahrul kerana sudah 30 tahun terpisah dan umurnya kini sudah pun 32 tahun.

“Setelah bercerai, bekas suami hanya membawanya seorang manakala empat lagi anak tinggal bersama saya,” katanya.

Menurutnya, keadaan kesihatannya juga semakin hari semakin meruncing dan rasa ingin berjumpa dengan Syahrul amat kuat.

“Hospital ibarat rumah kedua kerana saya terpaksa berulang alik untuk memeriksa kesihatan.

“Saya sudah 20 tahun menghidap pelbagai penyakit seperti asma, jantung dan buah pinggang, namun 10 tahun kebelakangan ini penyakit bertambah teruk,” katanya.

Ramlah berkata, dia terpaksa mengharapkan anak bongsu, Nuratikah Yaacob, 18, iaitu anak dengan suami kedua, menemaninya di rumah kerana anak yang lain sudah berumah tangga dan tinggal berdekatan

Katanya, usaha mencari memang ada namun kerana tiada sebarang petunjuk ia menjadi sukar.

“Saya berharap dapat berjumpa dengan Syahrul kerana sudah lama tidak bersua muka, ibu dan anak walau selama mana terpisah perasaan sayang dan rindu tetap ada,” katanya.
http://www.sinarharian.com.my

No comments:

Post a Comment