SEBAK...Che Pauzi menenangkan isterinya ketika menunggu bedah siasat selesai di bilik mayat di HRPZ II. Gambar kecil, Nuramni Athirah. |
BACHOK: “Sebelum kejadian, anak saya menunjukkan sikap pelik apabila beberapa kali keluar bilik mencium pipi saya sebelum tidur. Tak sangka ia ciuman terakhir,” kata Che Pauzi Mamat, 44, bapa kepada Nuramni Athirah, berusia setahun sembilan bulan yang maut dilanggar Perodua Alza dipandu Che Pauzi ketika mengundurkan kenderaan berkenaan keluar dari garaj rumah mereka di Kampung Tok Jawa, Tawang, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, mangsa meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Klinik Kesihatan Kedai Lalat, di sini, sebelum mayatnya dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).
Mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Demit, Kubang Kerian, petang semalam.
Menceritakan kejadian itu, Che Pauzi berkata, ketika kejadian dia sedang bersiap ke pasar bersama isteri, Noraini Othman, 38 dan anaknya itu untuk membeli barangan persiapan Ramadan dan ketika mengundurkan kenderaannya, dia terdengar jeritan jiran dan pada masa sama berasa seperti terlanggar sesuatu.
“Saya keluar dari kenderaan dan melihat Nuramni Athirah terperosok di bahagian kiri tayar depan MPV saya. Saya segera memanggil isteri untuk membantu mengeluarkannya.
“Ketika itu Nuramni Athirah dalam keadaan lemah dan masih bernyawa. Saya berusaha memberikan bantuan pernafasan dan mengurut dadanya sebelum membawanya ke Klinik Kesihatan Kedai Lalat. Bagaimanapun, anak saya sudah meninggal dunia dan dibawa ke (HRPZ II),” katanya sebak.
Menurut Che Pauzi, kebiasaannya dia mendukung anaknya itu jika hendak keluar bersama, tetapi semalam dia menyangka anaknya bersama isteri di dalam rumah.
“Dugaan ini memang berat untuk dihadapi, apatah lagi ketika Ramadan semakin hampir,” katanya yang bertugas di Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) Kubang Keranji, Kota Bharu. Che Pauzi berkata, Nuramni Athirah amat disayanginya kerana dilahirkan selepas 15 tahun dia tidak mempunyai anak.
Katanya, arwah anak tunggalnya menerusi perkahwinannya bersama Noraini tiga tahun lalu, manakala perkahwinannya yang terdahulu tidak memperoleh cahaya mata.
Dalam pada itu, usaha menemu bual ibu mangsa gagal kerana bersedih dengan kejadian itu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Yahya Salleh ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu.
http://www.hmetro.com.my
No comments:
Post a Comment