Friday, July 15, 2011

Raja Azmi ditangkap lagi



Raja Azmi Raja Sulaiman dibawa ke Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam ekoran waran tangkap yang dikeluarkan setelah gagal menghadirkan diri dalam perbicaraan kes saman sivil.


SHAH ALAM 14 Julai – ‘‘Awak tidak datang ke mahkamah sebanyak tiga kali. Ini menunjukkan awak tidak hormat mahkamah. Maaf sahaja tidak cukup. Saya terpaksa menangguhkan perbicaraan banyak kali.’’

Walaupun bercakap dengan nada lembut, sesiapa yang mendengar kata-kata Hakim Mahkamah Tinggi Sivil Baharu (NCvC), Hakim Datuk Lim Yee Lan itu turut dapat merasakan ketegasan dan kekecewaan beliau terhadap penerbit kontroversi, Raja Azmi Raja Sulaiman.

Penerbit filem ‘... Dalam Botol’ itu dibawa ke mahkamah di sini hari ini kira-kira pukul 2.30 petang ini oleh pihak polis selepas waran tangkap yang dikeluarkan baru-baru ini disempurnakan kira-kira pukul 9.45 pagi di kediamannya di Ukay Perdana, Hulu Kelang dekat sini.

Waran tangkap tersebut merupakan kali kedua dikeluarkan oleh hakim tersebut bagi kes saman sivil berhubung penjualan sebidang tanah seluas 14.2 hektar dengan harga RM5.9 juta.

Pada 19 Ogos tahun lalu, Raja Azmi yang merupakan defendan kedua dalam kes saman itu ditahan di Balai Polis Pandan Indah, Ampang Jaya selepas dia membuat laporan polis terhadap isteri Roslin, Nurhayati Othman, 40, yang didakwa mengugutnya melalui khidmat pesanan ringkas (SMS)

Dia ditahan selepas tidak hadir beberapa kali ke perbicaraan membabitkan dirinya, suaminya, Jalani Sidek dan syarikat mereka, Equal Alliance Sdn. Bhd. yang dinamakan sebagai defendan.

Mereka disaman oleh ahli perniagaan, Hamzah Abdul Majid atas dakwaan bersubahat dengan LBS Bina Holdings Sdn. Bhd. dan pengarahnya, Joey Lim Hock Guan apabila menjual tanah itu kepada syarikat pembinaan tersebut.

Sedangkan, pihak defendan didakwa telah berjanji untuk menjual hartanah tersebut kepada Hamzah sebagaimana yang dinyatakan dalam perjanjian bertarikh 21 Februari 1996 dengan harga RM4.9 juta.

Menjawab pertanyaan Hakim Yee Lan mengenai kegagalannya hadir ke mahkamah, Raja Azmi, 52, menyatakan ia bukanlah satu perkara yang disengajakan kerana dia telah dimasukkan ke hospital.

‘‘Pada pagi itu, lepas bangun saya pengsan. Kemudian saya ke hospital dan doktor menyatakan terdapat satu tulang di leher yang tidak berada di tempat yang sepatutnya telah menekan saraf menyebabkan bekalan oksigen ke otak tersekat,’’ jelasnya.

Di hospital itu juga, seorang lagi doktor yang telah memeriksa matanya menyarankan dia membuat pembedahan untuk membuang ketumbuhan (cyst) kecil yang terdapat pada organ penglihatannya itu.

‘‘Saya berada di hospital selama empat hari,’’ katanya tanpa menyatakan nama hospital yang merawatnya dan turut berjanji akan menyerahkan sijil cuti sakit (MC) kepada mahkamah selepas ‘seseorang’ membawa sijil itu dari rumah,’’ ujarnya.

Hakim Yee Lan kemudian menyatakan, disebabkan dia hadir ke mahkamah atas waran tangkap, dia sepatutnya dimasukkan ke penjara sehingga tarikh perbicaraan akan datang iaitu pada 22 Julai ini.

Bagaimanapun, hakim itu sanggup ‘berlembut’ dengan menyatakan akan membebaskannya jika isteri kepada bekas pemain badminton negara itu boleh mengemukakan jaminan sebanyak RM50,000 dengan dua penjamin.

Peguam yang mewakili plaintif juga menyatakan jumlah ikat jamin tersebut sesuai kerana walaupun Raja Azmi seorang yang muflis, dia tinggal di sebuah rumah berkembar dan pada kali terakhir sapina diserahkan kepadanya, penerbit itu sedang memandu sebuah kereta Mercedes Benz.

‘‘Tetapi saya tidak punya apa-apa kecuali kata-kata. Itu bukan kereta saya, itu kereta syarikat dan ia bukannya di bawah nama saya. Saya tidak ada apa-apa,’’ bidasnya.

Hakim Yee Lan sebelum menangguhkan prosiding itu mengurangkan jumlah jaminan kepada RM30,000 dengan dua penjamin.

Raja Azmi membayar jaminan tersebut kira-kira pukul 4.30 petang.

Utusan Malaysia Online - Mahkamah

No comments:

Post a Comment