Monday, July 18, 2011

Siar segera video tangkis tohmahan polis ganas

KUALA LUMPUR: Polis perlu segera menyiarkan rakaman video mengenai usaha mereka menangani perhimpunan haram 9 Julai lalu yang boleh menjadi bahan bukti untuk menangkis tohmahan pembangkang yang mendakwa polis bertindak ganas.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, polis perlu bertindak pantas memandangkan media alternatif dan penulis blog propembangkang memainkan isu itu untuk memburukkan kerajaan.


“Untuk patahkan pembohongan dan putar belit pembangkang, polis sudah bersedia dengan bahan bukti, baik rakaman video, kenyataan umum dan sebagainya, eloklah dikemukakan supaya rakyat dapat menilai siapa di pihak benar,” katanya kepada pemberita selepas membuat tinjauan mesra ke Pasar Raja Bot di sini, semalam.

Katanya, rakyat pula tidak sepatutnya mendengar daripada sebelah pihak sebaliknya perlu membuat penilaian sewajarnya terhadap segala tindakan yang dilakukan pihak berkuasa dalam menangani suasana ketegangan yang dicipta sekumpulan manusia dalam perhimpunan haram itu.


Pada Isnin lalu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempunyai fakta dan bukti kukuh yang akan digunakan bagi menyangkal dakwaan sesetengah pihak yang mensensasikan pelbagai isu yang berlaku dalam perhimpunan haram 9 Julai lalu, termasuk rakaman sepanjang perhimpunan itu.


Muhyiddin berharap apa yang disebutkan Hishammuddin itu dapat dilakukan dengan segera oleh polis memandangkan mereka ‘tahu apa yang diputarbelitkan pembangkang dan sudah menjangkakan apa yang akan dilakukan mereka.’ Muhyiddin turut meminta supaya rakyat memahami serta menghargai tugas polis dalam menangani situasi bagi menghalang perhimpunan itu daripada berlaku seperti kesesakan lalu lintas atau langkah-langkah lain yang diambil demi menjaga keselamatan rakyat di negara ini.

“Rakyat mesti faham bila polis berdepan dengan situasi segerombolan sebegini, mereka mesti menangani secara bijaksana. Apa yang dibangkitkan pembangkang, media alternatif, Youtube adalah gambaran kezaliman,” katanya.

myMetro | Siar segera video tangkis tohmahan polis ganas

No comments:

Post a Comment