KUALA LUMPUR: “Tindakan anak-anak tidak menjamin bapa mereka yang ditangkap khalwat tidak salah dan tidak dianggap derhaka kerana perbuatan bapa mereka itu jelas berdosa di sisi agama” kata pendakwah bebas, Datuk Hasan Mahmud al-Hafiz.
Malah katanya, tindakan itu satu langkah baik untuk memberi pengajaran kepada bapa mereka bahawa pada usia lanjut, menjadi kewajipan kepadanya untuk mengingati mati serta mempertingkatkan amal ibadat.
Beliau berkata demikian mengulas muka depan Harian Metro Sabtu lalu mengenai seorang lelaki warga emas yang ditahan kerana tuduhan berkhalwat sanggup meringkuk dalam lokap selama lebih dua bulan kerana anaknya tidak mahu membayar wang ikat jamin kekasihnya. Dalam perbicaraan di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Barat Daya, Balik Pulau baru-baru ini, lelaki 70-an yang bercucu itu dihadapkan ke mahkamah bersama teman wanitanya berusia 29 tahun atas tuduhan berkhalwat yang dilakukan mereka, Mei lalu. Empat anak lelaki itu yang hadir sepanjang perbicaraan dikatakan bersedia menjamin bapa mereka namun keadaan bertukar tegang apabila tertuduh meminta anaknya turut menjamin teman wanitanya. Anaknya enggan berbuat demikian kerana tidak sanggup menerima wanita itu dan keadaan semakin kecoh apabila lelaki itu membuat keputusan supaya mereka tidak menjaminnya. Hasan berkata, lebih elok bapa mereka dibiarkan meringkuk dalam lokap supaya memberi keinsafan kepadanya malah tiada gunanya mereka membela lelaki itu yang sepatutnya sudah matang dan boleh menilai sendiri baik buruk perbuatannya.
“Tindakan anak itu bertepatan tambahan pula tangkapan bapa mereka bukan disebabkan dianiayai sesiapa. Amat dikesali kerana pada usia sebegitu sepatutnya lelaki itu membuat persediaan untuk berdepan kematian dan bertemu Allah bukan sebaliknya.
“Saya berharap kejadian ini menjadi pengajaran kepada semua dan jika pada usia lanjut tapi masih lagi bergelumang dosa, dia adalah golongan yang paling rugi,” katanya.
Beliau berkata, dalam hadis nabi juga turut menyebut orang yang paling cerdik dan pintar adalah orang yang sentiasa mengingati mati dan mengingati Allah.
“Orang yang mengingati mati itulah orang yang sebenarnya hidup manakala orang yang takut kepada kematian diibaratkan sudah mati sebelum mati. Justeru, kita perlu sentiasa takut dengan azab Allah yang bakal diterima kelak akibat perbuatan kita di dunia,” katanya.
No comments:
Post a Comment