Sunday, August 14, 2011

Doa termakbul

ALOR GAJAH: Akhirnya doa dan impian saya untuk berbuka puasa serta menyambut Syawal bersama ibu serta keluarga di sini termakbul selepas 10 tahun,” luah Sanisah Abu Bakar, 37, ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Darat, Kuala Linggi, dekat sini, malam kelmarin.
Sanisah dan tiga anaknya iaitu Nurshahada, 15, Nurizwan, 11, Nurakma Najwa Widodo, 10, berjaya dibawa pulang ke tanah air kelmarin dengan bantuan Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) diketuai Naib Pengerusi Sekretariatnya, Datuk Dr Mohd Jamil Mukmin.

Dia sebelum ini terkandas di kampung suaminya di Gangga, Lombok, Indonesia sejak 2002 apabila gagal membiayai perjalanan pulang ke negara ini.

Sanisah bersama suaminya, Widodo Chinasin, 39, dan tiga anak mereka dikatakan pergi ke Lombok untuk melawat ibu mentuanya yang sakit sebelum mereka terkandas.

Menurut Sanisah, dia sekeluarga terputus hubungan dengan keluarganya Melaka sepanjang empat tahun pertama tinggal di Kampung Pelenge, Gangga, Lombok kerana tiada nombor telefon selain gagal mengingati alamat keluarga, menyebabkan dia terkandas.

“Ketika di sana (Lombok) kami tinggal bersama keluarga mentua dan saya bekerja di klinik desa sebagai Pembantu Kesihatan dengan gaji 600 ribu Rupiah setahun, manakala suami menjadi mekanik kereta dengan pendapatan tidak menentu,” katanya.


Menceritakan semula kisahnya sepanjang 10 tahun di Lombok, Sanisah berkata, terlalu banyak kenangan yang sukar dilupakan, terutama apabila menjelang Ramadan dan Syawal, di mana kerinduan terhadap keluarga sungguh memuncak.

“Lombok tidak seperti di sini. Kami mengikat perut di sana untuk menyimpan duit dan berangan hendak pulang Melaka saban tahun, namun semua hanya mimpi.
“Namun akhirnya hari ini (kelmarin) saya dapat mendakap ibu dengan sepuas-puasnya, selain berbuka puasa bersama adik beradik lain,” katanya.

Menurutnya, selepas mendapat berita gembira daripada Kerajaan Negeri Melaka melalui DMDI yang akan membantu menguruskan kepulangannya, setiap malam bayangan wajah ibunya, Salmah Mahmud, 71, yang uzur sering berlegar di ruang matanya.

“Tidak dapat digambarkan bagaimana gembiranya saya ketika itu kerana kami sekeluarga diberitakan akan kembali ke tanah air untuk sama-sama menyambut Ramadan dan Syawal bersama keluarga di sini,” katanya.

Sanisah yang fasih berbahasa Indonesia dan melahirkan dua lagi anak, iaitu Nur Aliff Zulkarnain, 9, dan Nurain Asyikin, 6, ketika di sana mendakwa serta keluarganya mendapat layanan baik daripada penduduk Lombok yang mengetahui mereka terkandas selepas terbaca akhbar (Harian Metro) dikirim seorang penduduk yang bekerja di Kuala Lumpur sebulan sekali.hmetro

No comments:

Post a Comment