Sumber polis berkata, walaupun penculik meminta wang tebusan bernilai jutaan ringgit, mangsa tetap diberi tekanan lebih-lebih lagi dia terpaksa berpindah-randah bagi mengelakkan dikesan oleh pihak ketiga.
Kata sumber berkenaan, Nazaruddin terpaksa dialihkan setiap masa agar pihak ketiga itu tidak menemui kumpulan penculik seterusnya 'mengambi alih' penculikan itu.
"Sindiket penculikan di sana boleh diibarat sebagai satu industri dan kumpulan penculik begitu menjaga mangsa agar kegiatan mereka itu memperoleh hasil dengan pembayaran wang tebusan.
"Oleh itu, mereka harus berpindah-randah setiap masa dan ia tentu sekali memberi kesan kepada mangsa culik. Nazaruddin mungkin diberi makan nasi berlaukkan garam dan tidur di atas tanah sahaja," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Nazaruddin ke kepulauan terbabit awal Mei lalu untuk menambah pendapatan keluarga dengan berniaga cicak tokek. Namun, langkahnya ternyata silap apabila dia akhirnya menjadi mangsa sindiket penculikan yang dipercayai anggota Abu Sayyaf.
Bagaimanapun, kepulangan ahli perniagaan kecilan itu ternyata ditunggu-tunggu ahli keluarganya terutama enam anaknya menjelang sambutan Aidilfitri ini.
Mengulas lanjut sumber memberitahu, Nazaruddin ternyata bernasib baik kerana penculiknya beragama Islam.
"Mereka mungkin akan mengacah-acah membunuh rakyat Eropah tetapi tidak akan sesekali mengapa-apakan mangsa yang seagama dengan mereka," jelas sumber itu.
Ditanya tentang nilai wang tebusan Nazaruddin semasa pula, sumber polis itu tidak menolak, jumlahnya telah meningkat memandangkan tempoh penculikan telah berlarutan beberapa bulan.
"Selagi mereka tidak dapat wang serta berpindah-randah, kos akan meningkat kerana pengawal yang menjaga Nazaruddin juga perlu diberikan upah.
"Malah, walaupun hanya memberi makan nasi berlaukkan garam, itu juga kos yang akan dimasukkan dalam wang tebusan itu nanti," katanya.utusan
No comments:
Post a Comment