Saturday, August 27, 2011

Terpaksa berlakon

KUALA LUMPUR: “Orang nampak saya bahagia bersama suami, tetapi derita di hati siapa yang tahu kerana hakikatnya saya ibu tunggal yang sudah bercerai kira-kira dua tahun setengah,” luah seorang wanita dikenali sebagai Aminah.
Aminah, 54, mempunyai tiga anak hasil perkahwinan pertama bersama arwah suami dan seorang anak menerusi rumah tangga yang didirikan bersama bekas suami kira-kira 12 tahun lalu.

“Saya menyembunyikan identiti sebagai ibu tunggal kerana saya tidak mahu anak-anak tertekan dan dipandang serong masyarakat,” katanya kepada Harian Metro.

Aminah menyara kehidupannya dengan wang pencen arwah suami RM250 sebulan yang pernah bekerja sebagai posmen dan tidak mempunyai pendapatan tetap lain kerana tidak mampu bekerja kerana disyaki menghidap barah otak.

Katanya, dua anaknya berusia 19 dan 23 tahun tidak mempunyai pekerjaan tetap kerana keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mereka kurang cemerlang manakala seorang lagi masih meneruskan persekolahan dalam tingkatan satu.

“Saya buntu kerana wang sara hidup tidak mencukupi walaupun bekas suami masih memberi sedikit wang nafkah bergantung kepada kemampuan setiap bulan sekitar RM300 hingga RM500,” katanya.


Menurut Aminah, ibunya di kampung masih bergantung kepadanya bagi melangsaikan sewa rumah iaitu RM100 setiap bulan tidak termasuk wang makan minum serta bayaran sewa rumahnya iaitu RM124 sebulan.

Aminah berkata, dia tidak mahu kembali kepada bekas suaminya kerana lelaki itu kaki pukul dan kaki perempuan kerana hatinya seolah-olah sudah ‘kering’ walaupun itu adalah antara jalan penyelesaian kepada kebuntuannya. “Bekas suami curang dan wanita yang mendampinginya bersilih ganti sehingga membabitkan hubungan sulit di rumah kami sendiri ketika ketiadaan saya, malah saya dan anak menjadi mangsa barannya sehingga dipukul dan ditengking,” katanya. Katanya, dia pernah rujuk dua kali dan perangai suaminya itu tetap tidak berubah dan dakwanya dia tidak mahu pisang berbuah dua kali.

Kata Aminah, bekas suaminya masih ke rumah untuk menjenguk anak dan mereka ‘berlakon’ di hadapan masyarakat sekeliling seolah-olah masih suami isteri.

“Saya tidak mahu burukkan bekas suami kerana semua orang anggap kami pasangan bahagia dan setakat ini belum ada jiran yang menghidu mengenai pertengkaran kami sebelum ini. “Saya berharap ada pihak yang boleh tampil membantu saya terutama bantuan kepada anak saya menyambung pelajaran,” katanya.

Pada masa sama, dia juga berharap agar pihak kerajaan menaikkan kadar pencen yang diterimanya kerana baginya jumlah yang diperoleh sekarang tidak mencukupi bukan saja untuk dia sekeluarga, tetapi juga rakannya yang mengalami nasib serupa.

“Ada beberapa orang rakan saya turut mengalami kesempitan hidup akibat wang pencen yang terlalu sedikit jumlahnya,” katanya.

No comments:

Post a Comment