Wednesday, August 3, 2011

Masjid di Kanada tingkat keselamatan

MONTREAL 2 Ogos - Walaupun fanatik Kristian yang melancarkan serangan berkembar di Norway, Anders Behring Breivik telah ditahan, namun amaran dan langkah berjaga-jaga terhadap serangan anti-Islam tetap dikeluarkan di masjid-masjid di Kanada.
Sebuah pertubuhan hak asasi penganut Islam kebangsaan menasihati pihak berkuasa masjid-masjid menilai semula pendekatan keselamatan ekoran serangan Breivik, pengakuannya dan manifestonya setebal 1,500 muka surat berhubung kebenciannya terhadap Islam.
Pengarah Eksekutif Majlis Hubungan Amerika-Islam Kanada, Ihsaan Gardee berkata, kedatangan Ramadan menyaksikan jumlah penganut Islam pergi ke masjid meningkat dan pentadbir harus mengambil langkah berjaga-jaga dengan memeriksa tahap keselamatan dan melaporkan kepada polis tentang aktiviti mencurigakan.
Beliau berkata, pertubuhan itu tidak menjangka berlaku serangan balas terhadap masyarakat Islam secara besar-besaran, namun kejadian sebelum ini mengajar perlunya langkah berwaspada diambil.
''Berdasarkan pengalaman kami terhadap kejadian berprofil tinggi sama ada di peringkat nasional atau antarabangsa, akan berlaku kesan lanjutan seperti retorik anti-Islam dan Islamofobia, selain kejadian gangguan, jenayah berunsur kebencian dan diskriminasi,'' ujarnya.
Beliau berkata, sejak 2010, masjid-masjid di Hamilton, Montreal, Vancouver dan Waterloo telah menjadi sasaran vandalisme.
Justeru, katanya, pihaknya baru-baru ini mengeluarkan alat kit keselamatan masyarakat dan ia dihantar ke masjid-masjid di seluruh negara ini.
''Ia menawarkan nasihat pembangunan hubungan positif dengan pegawai polis, ahli politik dan guru besar sekolah, selain membentuk kerjasama dengan agama lain dan kumpulan minoriti serta pembentukan jawatankuasa keselamatan.
''Ia juga menawarkan nasihat berguna dalam kehidupan seperti bagaimana untuk memotong pokok, memasang sistem lampu di luar rumah dan sistem amaran di rumah.
Jenayah berunsur kebencian di Kanada meningkat pada 2009 dengan data statistik baru-baru ini menunjukkan peningkatan 42 peratus terhadap semua komuniti termasuk penganut Islam. - Agensi
http://www.utusan.com.my

No comments:

Post a Comment