JAYAPURA 2 Ogos - Seorang komander pemberontak di wilayah Papua, Indonesia hari ini menafikan penglibatan mereka dalam satu serbuan yang mengorbankan empat orang semalam, sambil menuduh tentera bertanggungjawab.
Komander Gerakan Papua Merdeka (OPM) di daerah Keeron, Lambert Pekikir berkata, mereka berjuang untuk menuntut kemerdekaan dan tidak akan sewenang-wenangnya membunuh bangsa sendiri.
Polis Indonesia semalam menuduh OPM melakukan serangan itu dan menyatakan bendera kemerdekaan Morning Star ditemui terpacak di kawasan berhampiran.
"Saya dengan keras menafikan tuduhan ini. OPM tidak bertanggungjawab atas serangan ini kerana ibu pejabat telah mengarahkan supaya kami meletak senjata," katanya kepada AFPmelalui panggilan telefon dari lokasi yang tidak diketahui.
Seorang anggota tentera dan tiga yang lain terbunuh, manakala tujuh lagi cedera dalam serangan itu.
Pemberontak pribumi selalunya menggunakan panah menentang pemerintah Indonesia yang didakwa menindas dan mengeksploitasi bangsa mereka.
"Apabila berlaku tembakan, ia jelas dilakukan oleh tentera atau polis. Mereka menggunakan OPM sebagai kambing hitam," ujarnya.
Sementara itu, polis Jayapura, Imam Setiawan hari ini memberitahu siasatan masih dijalankan, selepas semalam menuduh OPM yang bertanggungjawab. - AFP
http://www.utusan.com.my
No comments:
Post a Comment