NEW YORK 24 Ogos - Penyelaras Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendedahkan bahawa badan dunia itu masih tidak dapat mengakses kawasan tertentu di Somalia yang mengalami krisis kebuluran terburuk, sekali gus membantutkan usaha untuk mengagih-agihkan bantuan makanan kepada pelarian.
Pegawai Penerangan Awam dan Sokongan OCHA, Kirsten Mildren yang kini bertugas di negara-negara Afrika berkata, masalah itu menyebabkan bantuan makanan tidak dapat diagih-agihkan ke kawasan yang paling kurang menerima kehadiran agensi kemanusiaan.
"Masih terdapat kawasan yang belum dapat diakses pihak kami di Somalia, yang mana pelariannya sangat-sangat memerlukan bantuan makanan," katanya kepada agensi beritaXinhua dalam satu wawancara di sini hari ini.
Krisis makanan di negara-negara Afrika seperti Kenya, Djibouti dan Ethiopia disebabkan kemarau telah mencetuskan masalah kebuluran di lima kawasan di selatan dan tengah Somalia dengan 3.7 juta daripada penduduknya memerlukan bantuan kemanusiaan segera.
Situasi itu bertambah buruk dengan kelemahan kerajaan Pusat Somalia dan kewujudan kumpulan- kumpulan bersenjata seperti al-Shabab, yang mengawal sebahagian besar selatan Somalia dan menyekat kemasukan bantuan makanan oleh agensi kemanusiaan.
"Kami tidak tahu bagaimana keadaan itu akan memberi kesan kepada operasi kemanusiaan dan pengagihan bantuan," jelas Milden.
Katanya, buat masa ini OCHA akan terus mengagihkan bantuan ke bandar-bandar di Somalia melalui kakitangan tempatan.
"Anda masih belum dapat melihat kehadiran kakitangan bantuan kemanusiaan antarabangsa di luar Mogadishu. Kami menyalurkan semua bantuan kami sendiri dengan sokongan kakitangan tempatan," katanya.
Mildren berkata, OCHA juga sedang berusaha mengadakan dialog dengan semua pihak di Somalia bagi urusan kemasukan bantuan kepada pelarian yang memerlukan. - Agensi, utusan
No comments:
Post a Comment