Monday, September 19, 2011

Singapura tertekan Malaysia mansuh ISA





2011/09/19

SINGAPURA: Singapura berada dalam tekanan untuk melonggarkan sekatan politiknya selepas negara jirannya, Malaysia mengumumkan langkah untuk memansuhkan undang-undang keselamatan ketat selain bersikap lebih media dan melonggarkan peraturan protes. 

Kumpulan hak asasi dan pembangkang berkata Singapura perlu mengikut peredaran masa dan menghapuskan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang membolehkan penahanan tanpa perbicaraan dan dilihat pengkritik sebagai alat menyekat kebebasan.
Dalam satu langkah mengejutkan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan minggu lalu yang kerajaannya akan memansuhkan ISA dan melonggarkan undang-undang lain yang dianggap sebagai sekatan kebebasan awam termasuk peraturan protes dan lesen tahunan akhbar.
“Tindakan Najib dibuat selepas mengambil pandangan daripada kumpulan masyarakat di negaranya,” kata Pengarah Untuk Hubungan Asia Tenggara Kumpulan Kempen Hak Asasi Politik dan Masyarakat di Pusat Pemikir berpangkalan di Singapura, Sinapan Samydorai. 

“Jika Malaysia ke arah lebih terbuka, saya rasa mereka akan terus maju. Sudah tiba masanya Singapura bergerak ke depan,” katanya kepada AFP. 

Singapura bagaimanapun menegaskan bahawa ISA, yang sebelum ini digunakan untuk menentang sayap kiri dan militan yang disyaki sejak beberapa tahun masih relevan dan mempertahankan yang peraturan media diperlukan untuk mengekalkan keharmonian sosial. 

Tahanan ISA paling lama di republik itu adalah Chia Thye Poh, bekas wakil rakyat Parti Sosialis yang ditahan selama 23 tahun bermula 1966 hingga 1989, diikuti sembilan tahun tahanan rumah. 
Sehingga kini, semua pembantah disediakan tempat memberi ceramah di mana semua penceramah perlu berdaftar dengan pihak berkuasa terlebih dulu dan perlu mendapatkan permit daripada polis di Singapura. – AFP 

No comments:

Post a Comment