Monday, October 24, 2011

Cuba desak Amerika Syarikat batal sekatan perdagangan


UTUSAN: Apa kesan utama yang dihadapi oleh Cuba ekoran sekatan AS itu?

RUBEN: Sekatan itu merupakan halangan paling utama bagi pembangunan ekonomi Cuba, antara lain, dalam bidang kesihatan, pendidikan, perdagangan dan pelaburan, pelancongan, perbankan dan bidang maklumat dan komunikasi.

Cuba tidak mampu mengeksport secara bebas atau mengimport barangan atau perkhidmatan kepada atau dari AS dan menggunakan dolar AS dalam transaksi kewangan antarabangsa.

Malah kami juga tidak boleh mendapatkan kredit daripada institusi kewangan antarabangsa seperti Bank Dunia, Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Pembangunan Inter-American.

Berapakah anggaran jumlah kerugian yang terpaksa ditanggung oleh Cuba?

RUBEN: Kami menganggarkan telah mengalami kerugian ekonomi mencecah AS$104 bilion (RM327.5 bilion) sehingga tahun lalu dan kerugian ini boleh mencecah AS$975 bilion (RM3 trilion) jika mengambil kira penyusutan mendadak nilai dolar Amerika terhadap harga emas dalam pasaran kewangan antarabangsa.

Malah dari Mei 2010 hingga April 2011, impak negatif akibat sekatan itu terhadap sektor penjagaan kesihatan awam dianggarkan berjumlah AS$15 juta (RM47.2 juta).

Bagaimana dengan persediaan Cuba untuk meraih sokongan negara-negara anggota pada Perhimpunan Agung PBB kali ini?

RUBEN: Cuba yakin dapat meraih sokongan majoriti negara anggota PBB untuk membatalkan sekatan perdagangan selama 50 tahun yang dikenakan oleh Amerika Syarikat itu.

Banyak negara lain telah mengundi untuk menyokong resolusi yang dibentangkan oleh Cuba sejak 1992 termasuk Malaysia dan tahun ini kami sudah menerima kenyataan sokongan daripaad 142 negara anggota.

Sekali lagi, pada Selasa ini (esok), Cuba akan memohon Perhimpunan Agung PBB supaya campur tangan agar Amerika Syarikat menarik balik sekatan ekonomi ke atas Cuba.

Sepanjang AS di bawah pentadbiran Presiden Barack Obama, apakah terdapat sebarang perubahan terhadap sekatan tersebut?

RUBEN: Jika diimbas kembali semasa kempen pilihan raya Presiden AS sebelum Obama menang, beliau berjanji untuk membuat perubahan besar mengenai isu sekatan itu.

Namun, hanya perubahan kecil yang dilakukan Obama membabitkan pembatalan larangan rakyat AS ke Cuba dengan tujuan akademik, pelajaran, budaya dan keagamaan, seperti yang diumumkan pada 14 Januari lalu.

Malah asas-asas sekatan itu masih tidak berubah dan diketatkan dengan eksport pelbagai barangan dan perkhidmatan dari Cuba masih dilarang serta kesukaran menjalankan transaksi kewangan dengan pihak ketiga serta prinsip pengasingan wilayah.

Sejauh manakah peluang Cuba untuk menamatkan derita ini dengan pembentangan draf resolusi itu esok?

RUBEN: Kami yakin dapat mengakhiri penderitaan ini berdasarkan sokongan yang diterima daripada majoriti masyarakat antarabangsa yang menuntut agar AS menamatkan sekatan ke atas Cuba tanpa mengenakan sebarang syarat.

Bagi Cuba, sekatan tersebut terus menjadi dasar sehala yang tidak masuk akal, menyalahi undang-undang, dan tidak wajar daripada segi moral, malah mendapat tentangan daripada rakyat AS sendiri.

Bagaimanapun, ia ternyata tidak berjaya melemahkan semangat patriotik rakyat Cuba untuk mempertahankan kedaulatan, kemerdekaan dan hak untuk menentukan pilihan sendiri.

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment