Monday, October 24, 2011

Kabul akan sokong Pakistan


ISLAMABAD 23 Okt. – Afghanistan akan menyokong Pakistan andainya meletus konflik ketenteraan antara Pakistan dengan Amerika Syarikat (AS), kata Presiden Afghan, Hamid Karzai dalam wawancara dengan sebuah stesen televisyen swasta Pakistan, semalam.

Kenyataan Karzai itu bercanggah sama sekali dengan hubungan yang tegang baru-baru ini antara kedua-dua negara jiran itu berhubung serangan militan ke seberang sempadan.

Kabul juga menuduh Pakistan terlibat dalam pembunuhan ketua utusan damai Afghan yang juga bekas Presiden Afghan, Burhanuddin Rabbani oleh seorang pengebom berani mati pada 20 September lalu.

“Sekiranya perang meletus antara Pakistan dengan Amerika, Afghanistan akan menyebelahi Pakistan.

“Jika Pakistan diserang dan sekiranya rakyat Pakistan memerlukan bantuan Afghanistan, Afghanistan akan berada di sisi Pakistan,” kata Karzai dalam wawancara dengan televisyen Geo.

Namun situasi sedemikian dijangka tidak berlaku kerana Washington dan Islamabad kelihatan berusaha untuk meredakan ketegangan antara mereka berikutan perbalahan sejak berbulan-bulan lalu.

Semasa lawatan dua hari ke Islamabad, Setiausaha Negara AS, Hillary Clinton memberi amaran keras dan menuntut kerjasama lebih erat daripada Pakistan untuk membantu menamatkan perang di Afghanistan.

Clinton bagaimanapun menolak penempatan askar AS di Waziristan Utara, wilayah Pakistan di mana Washington mendesak Pakistan supaya membanteras kumpulan militan yang dikenali sebagai rangkaian Haqqani.

Karzai berkata, ketegangan antara AS dengan Pakistan tidak mempengaruhi sikap negaranya terhadap Pakistan. – Reuters

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment