Saturday, October 22, 2011

Pengantin MIRS1M1P selamat diijab kabul

Oleh Azman Mahmood
azmanm@bharian.com.my
2011/10/22

  WAN AHMAD FARID   (tengah) sempat bergambar kenangan bersama sepuluh pasangan pengantin yang menyertai My Idol Raja Sehari 1Malaysia, 1pasangan dinikahkan  di Masjid Kristal Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu.
WAN AHMAD FARID (tengah) sempat bergambar kenangan bersama sepuluh pasangan pengantin yang menyertai My Idol Raja Sehari 1Malaysia, 1pasangan dinikahkan di Masjid Kristal Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu.
Pasangan dapat wang tunai RM5,000, 1,000 kad jemputan, perbelanjaan kahwin ditanggung

KUALA TERENGGANU: Sepuluh pasangan yang terpilih dalam program My Idol Raja Sehari 1Malaysia 1Pasangan (MIRS1M1P) yang julung kali diadakan di negeri ini, selamat diijab kabul dalam satu majlis lafaz akad nikah di Masjid Kristal, Taman Tamadun Islam (TTI) di sini, semalam.
Akad nikah oleh Juru Nikah negeri yang juga bekas Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Datuk Ismail Ali, berlangsung kira-kira jam 4.30 petang, sebaik selesai solat Asar. Bagi memeriahkan majlis, 300 ahli keluarga pihak pengantin lelaki dan perempuan hadir pada majlis anjuran Pejabat Pembangunan Parlimen Kuala Terengganu.
Hadir sama, Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, yang juga Pegawai Penyelaras Pembangunan Parlimen Kuala Terengganu.

Pasangan bertuah itu diberi wang tunai RM5,000 dan 1,000 keping kad jemputan selain segala perbelanjaan perkahwinan mereka ditanggung pihak penganjur.

Kemuncak program MIRS1M1P itu, semua pasangan itu akan disandingkan secara beramai-ramai dalam majlis Perkahwinan Perdana di Dataran Shahbandar di sini, kira-kira jam 9 malam ini yang dijangka turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said serta 5,000 tetamu.

Pasangan pengantin baru itu adalah Asrul Hafizal Abdul Halim, 28, dan Norfahani Mustafar, 21; Ahmad Ghazali Mohd Noor, 25, dan Siti Noor Hafizah Seman, 25; Dzulkarnain Othman, 28, dan Syamsiah Hussin, 26; Mohd Jailani Mohamad, 27, dan Nor Fadilah Awang, 21; Mohd Fitri Aziz Mohd Alias, 23, dan Wan Nur Liyana Wan A Razak, 23.

Pasangan lain adalah Mohamed Fadly Musa, 27, dan Syaidatul Akmal Ghazali, 21; Mohd Syaharidan Jaafardudin, 24, dan Wan Norfaizatul Ashikin Wan Mohd, 20; Ahmad Hanif Jaafar, 21; Shahrul Anuar Abdullah, 27, dan Syazrina Baharomm, 24, dan Mohd Safwan Mohamed, 25, dengan pasangannya Siti Nur Adnin Salim, 24 tahun.

Asrul Hafizal dan isterinya, Norfahani dari Kampung Gong Kemunting, Kuala Ibai, di sini, bersyukur kerana terpilih sebagai salah satu pasangan daripada lebih 100 pasangan yang memohon menyertai program MIRS1M1P anjuran Pejabat Pembangunan Parlimen Kuala Terengganu.

“Syukur Alhamdulillah, semuanya selamat dan berjalan lancar. Kami ingin berterima kasih kepada pihak penganjur kerana mengadakan program sebegini,” kata Asrul Hafizal yang bertugas di sebuah stesen minyak.

Mengulas program itu, Wan Ahmad Farid berkata program itu hasil kerjasama Pejabat Pembangunan Masyarakat Terengganu (APMT); Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT); Pejabat Pelancongan Malaysia Terengganu; Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Terengganu.

Antara syarat peserta yang ingin menyertai program itu dikehendaki menulis karangan tidak kurang 300 perkataan bertajuk 'Kenapa Saya Layak Dipilih', perlu melepasi beberapa sesi temu duga dan setiap pasangan mesti berpendapatan kurang RM1,500 sebulan, berumur 21 tahun ke atas, belum berkahwin dan bermastautin dalam kawasan Parlimen Kuala Terengganu.
Berita Harian Online | Pengantin MIRS1M1P selamat diijab kabul:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment