KUALA LUMPUR 21 Okt. - Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Mat Akin (gambar) ditahan pihak keselamatan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ketika menghadiri satu perhimpunan bagi membantah penggantungan pensyarah undang- undang, Prof. Dr. Abdul Aziz Bari di universiti itu, hari ini.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, penahanan itu dibuat oleh pihak keselamatan UIAM berikutan kehadirannya dianggap boleh menimbulkan suasana tidak tenteram di kalangan peserta perhimpunan.
"Pihak keselamatan UIAM menganggap bahawa Shamsul Iskandar adalah sangat mencurigakan kerana dia akan membuat suasana menjadi tidak tenteram kerana sikapnya yang keterlaluan terhadap sesuatu isu.
"Pihak polis tidak terlibat secara langsung dalam penahanannya kerana kami cuma memantau perjalanan perhimpunan itu yang tidak menggugat keselamatan warga UIAM," katanya di sini hari ini.
Jelas Abdul Rahim, perhimpunan tersebut dianjurkan oleh Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) yang dipimpin oleh pengerusinya, Shukri Abdul Hadi serta sembilan lagi persatuan yang berada di bawahnya.
Perhimpunan tersebut dihadiri seramai 500 mahasiswa dari seluruh negara bagi meluahkan rasa tidak puas hati terhadap penggantungan terhadap Abdul Aziz.
Mereka telah menyerahkan memorandum kepada Rektor UIAM untuk menarik balik penggantungan tersebut selepas tamat perhimpunan.
'via Blog this'
No comments:
Post a Comment