Thursday, October 20, 2011

‘Sepatutnya mereka ditangkap, bukan terus dibunuh’

‘Sepatutnya mereka ditangkap, bukan terus dibunuh’:
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 20 Okt: Ibu mangsa salah seorang daripada tiga remaja yang mati ditembak polis di Glenmarie, Shah Alam November tahun lalu hari ini mencabar Kementerian Dalam Negeri (KDN) membawa kes itu ke mahkamah bagi membuktikan pihak polis bertindak mengikut peraturan.
Norhafizah Mohd Razali, ibu kepada Allahyarham Muhammad Syamil Hafiz Shapiei yang kecewa dengan sikap lepas tangan KDN mahu kematian Syamil dan dua rakannya diadili mengikut siasatan yang menyeluruh.
"Saya sangat kecewa dan marah dengan pihak polis dan Kementerian Dalam Negeri kerana kes ini diperkotak-katikkan.
"Saya minta menteri KDN lihat semula laporan bedah siasat ketiga-tiga anak ini dan saya cabar menteri bawa kes ini ke mahkamah kalau betul mereka di pihak yang benar," kata beliau pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.
Hari ini merupakan kali kedua Norhafizah dan ahli keluarga mangsa hadir ke Parlimen ditemani Peguam Lawyer for Liberty  (LFL) setelah memorandum dan rayuan mereka agar kes ini diadili mengikut saluran perundangan tidak diendahkan.
Norhafizah buat kesekian kalinya menekankan bahawa beliau tidak berpihak kepada anaknya namun kecewa apabila melihat laporan bedah siasat yang mendapati ketiga-tiga mangsa ditembak dalam keadaan mereka sudah melutut, bukan dalam keadaan menyerang seperti yang didakwa polis.
"Berapa kali saya katakan saya terima kalau anak saya benar-benar bersalah tapi sepatutnya mereka ditangkap, bukan terus dibunuh," katanya sambil menahan sebak dan marah.
Jawapan menteri sambil lewa
Sementara itu, Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo pada sidang media sama menyifatkan jawapan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin  Hussein bahawa hasil siasatan mendapati tindakan polis melepaskan tembakan tersebut adalah mengikut lunas undang-undang sebagai longgar dan tidak bertanggungjawab.
Hishammuddin dalam jawapan bertulis kepada soalan Gobind di Dewan Rakyat Isnin lalu berkata, pihak polis menjalankan siasatan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan berhubung kes ini.
"Bagaimana kes yang mendapat liputan meluas di seluruh negara, setahun keluarga minta penjelasan daripada polis dan menteri, dan saya sebagai seorang ahli Parlimen tanya soalan secara serius.
"Tapi jawapan menteri hanya satu perenggan, berkata tindakan mengikut lunas undang-undang.Mana faktanya? Mana hujah membantah laporan bedah siasat?" soalnya.
Berasa lucu dengan jawapan tersebut, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izah Anwar berkata Hishammuddin memesongkan Dewan Rakyat apabila berkata kes tersebut ialah cubaan membunuh sedangkan kesemua mangsa mati ditembak.
"Menteri wajib bertanggungjawab dengan kenyataan yang dibuat dalam Dewan Rakyat.
"Budaya terlepas daripada hukuman dan menembak sembarangan di kalangan sebahagian daripada anggota pasukan polis dibenarkan berikutan sikap Menteri KDN yang melulu mempertahankan polis walaupu mereka melakukan jenayah," katanya yang juga Naib Presiden PKR.
Sementara itu, Ahli Parlimen Parit Buntar, Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, kepercayaan terhadap polis semakin terhakis jika kes ini tidak diadili sewajarnya.
"Polis termasuk menteri harus lebih bertanggungjawablah. Jangan bagi jawapan lepas itu lepas tangan. Kalau begini sikap yang ditunjukkan, imej polis akan terus buruk," katanya.
Turut bersama pada sidang media tersebut ialah Peguam N. Surendran, Hamidah Kadir, ibu kepada Mohd Khairul Nizam dan Noriah Darus, ibu kepada Mohd Hanafi Omar dan beberapa ahli keluarga terdekat mangsa.
Ketiga-tiganya ditembak kira-kira jam 4.45 pagi kerana disyaki terlibat dengan rompakan stesen minyak.

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment