Wednesday, October 26, 2011

Suami minta Megawati jangan tanding jawatan Presiden



Megawati dan suaminya, Taufik Kiemas. - AGENSI


JAKARTA 25 Okt. - Tidak kira sama ada Megawati Sukarnoputri terlupa atau sengaja buat-buat lupa mengenai usianya yang bakal mencecah 68 tahun pada 2014, suaminya, Taufik Kiemas awal-awal lagi mengingatkannya supaya tidak bertanding pada Pilihan Raya Umum Indonesia tiga tahun lagi.

Taufik yang juga Ketua Majlis Perwakilan Rakyat (MPR) Indonesia menegaskan, pada usia sedemikian, isterinya harus memberi laluan kepada orang muda untuk memimpin negara berkenaan.

"Pendapat peribadi saya, sebaiknya Megawati tidak memilih untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum sebagai calon Presiden.

"Usianya sudah mencecah 68 tahun pada 2014. Sebaiknya, dia (Megawati) memberi peluang kepada calon muda saja," kata Taufik mengulas mengenai hasrat isterinya yang mahu bertanding kerusi Presiden kali kedua pada 2014.

Megawati yang dilahirkan pada 23 Januari 1947 pernah menduduki jawatan Presiden Indonesia kelima pada pada 23 Julai 2001 ketika berusia 54 tahun.

Taufik yang juga Pengerusi Lembaga Penasihat Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) iaitu parti yang diketuai isterinya sebagai Ketua Umum memberitahu, parti politik itu harus mencari calon-calon yang jauh lebih muda sebagai persiapan menghadapi pilihan raya kelak.

"Jika kita membuat persiapan mencari pelapis dalam tempoh tiga tahun akan datang, seorang daripada mereka boleh muncul sebagai calonnya. Pemimpin tua harus memberi laluan," kata Taufik lagi.

Pada masa sama, Taufik juga enggan menyatakan siapakah calon muda yang dimaksudkan beliau layah bertanding di kerusi Presiden pada Pilihan Raya umum tiga tahun lagi.

Bahkan, tokoh berkenaan juga tidak langsung menyentuh nama anak perempuan tunggalnya hasil perkahwinan dengan Megawati, Puan Maharani, 38, yang dilihat sebagai seorang daripada calon yang sudah lama dibimbing untuk mewarisi jejak ibu dan datuknya, presiden pertama Indonesia, Soekarno. - UTUSAN

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment