Tarikh : November 30, 2011
'via Blog this'
KUALA LUMPUR: “Suami saya bukan VVIP seperti yang hangat diperkatakan dalam Internet. Suami saya orang biasa dan VVIP dimaksudkan itu tiada kena mengena langsung dengan perkahwinan saya,” kata penyanyi, Syella mengenai kontroversi lelaki dinikahinya baru-baru ini.
Pada masa sama, Syella atau nama sebenarnya Nur Shid’la Ahmad Kamarudin meminta kehidupannya tidak diganggu dan dia juga tidak bercadang memberitahu siapa suaminya.
“Biarlah ia menjadi rahsia,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Syella berkata, dia pelik mengapa orang ramai sibuk memperkatakan mengenai perkahwinannya yang dikatakan memakan belanja RM15 juta sedangkan dia tidak lagi aktif dalam industri hiburan.
“Saya dilabelkan artis suam-suam kuku tapi tiba-tiba nama saya disebut semula gara-gara perkahwinan mewah saya. Dulu orang tak sebut pun pasal saya. “Apapun tanggapan orang terhadap saya, saya sudah berkahwin dan saya mahu hidup bahagia di samping suami. Semoga Allah SWT kurniakan kami zuriat dengan segera,” katanya.
Menurut Syella, sebenarnya dia tidak berminat memberi komen mengenai perkahwinannya dan siapa suaminya.
“Saya juga tak minta hantaran mahal-mahal tetapi suami yang mahu bagi. Sama ada orang di luar sana mahu percaya atau tidak, terpulang. “Andai kata suami tak hadiahkan kereta mahal pun, saya tak kisah kerana saya sendiri ada banyak kereta. Saya cukup bersyukur apabila dia sudi menyunting saya sebagai isteri. “Bila saya tak kahwin, orang kata saya tak laku tetapi bila saya berkahwin, mereka kecoh pula. Apa dosa saya dengan mereka,” katanya. Syella juga berharap orang ramai tidak mempersoalkan cara dia berpakaian dan masih dianggap seksi, di sebalik statusnya yang kini bergelar isteri orang.
“Suami saya sudah berusia dan dia ada cara sendiri mendidik saya. Suami mahu saya berubah perlahan-lahan kerana katanya untuk membentuk orang lain ke arah lebih baik bukan dengan paksaan. “Jadi usah pertikaikan cara saya berpakaian dan siapa saya kerana apa yang penting suami memahami,” katanya yang memberitahu akan mengerjakan umrah sekali lagi bersama suami pada Februari ini.
“Tak perlu dihebohkan lagi mengenai majlis perkahwinan saya dan siapa suami saya. Jangan ganggu hidup saya lagi kerana saya pun dah ‘tak ada’ dalam industri ini,” katanya.
KUALA LUMPUR: Kegelisahan penumpang teksi wanita berhubung keselamatan mereka kini berakhir dengan pelancaran projek 'TeksiWanita'.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Senator Datuk Heng Seai Kei, berkata fasa perintis projek itu, dengan kerjasama Abex Manufacturing Sdn Bhd, akan menyasarkan 400 teksi beroperasi secara on-call di sekitar Lembah Klang secara berperingkat-peringkat.
'Setakat ini, kami telah ada 50 pemandu teksi wanita dan kita menggalakkan mereka yang berminat menceburi bidang ini, terutama suri rumah, ibu tunggal dan pesara,' katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Hari Antarabangsa Menangani Keganasan Terhadap Wanita di Terminal Bersepadu Selatan di sini, kelmarin.
Tambah Datuk Heng, projek itu bertujuan mewujudkan peluang pekerjaan kepada kaum wanita yang mahu membantu menambah pendapatan keluarga.
Beliau berkata, teksi itu akan dipandu oleh wanita dan bersedia memberi perkhidmatan kepada penumpang wanita yang bersendirian atau membawa anak agar mereka dapat menjalankan urusan harian dengan selesa serta lancar.
'Bagaimanapun, mereka boleh membawa penumpang lelaki sekiranya mereka berasa selamat dan destinasi yang dituju adalah berdekatan,' tambah beliau.
Sehingga kini, terdapat tiga buah syarikat iaitu Destination Transport, Zalnas Sdn Bhd, serta Koperasi Pengangkutan Putrajaya dan Cyberjaya yang boleh dihubungi bagi mendapatkan perkhidmatan tersebut. -- Agensi.
Kenyataan itu dikeluarkan Anwar pada Ceramah Perdana PKR di pejabat Angkatan Muda Keadilan cabang Gelang Patah malam tadi sempena kongres tahunannya di sini.
“Umno jangan mimpi nak tawan negeri-negeri Pakatan Rakyat, mustahil, ... Umno tidak akan berjaya untuk menawan kembali Selangor,” tegasnya di hadapan 300 penyokong parti itu.
“Negeri-negeri PR sudah membuktikan kami mampu mentadbir dengan berhemah dan cekap, buktinya di Selangor, hasil pentadbiran yang cekap, kami mampu untuk memberikan air percuma kepada rakyat Selangor,” katanya lagi.
Tambah Ketua Umum PKR ini, Johor juga tidak akan mampu menahan arus perubahan yang sedang melanda politik negara dewasa ini.
“Sekiranya pimpinan Umno-BN masih lagi mengamalkan corak pentadbiran sedia ada, mengabaikan hak dan kepentingan Melayu, tidak mustahil kami akan menawan negeri ini, walaupun ia kubu kuat Umno, ini sudah dibuktikan di Ijok.
“Dahulunya Ijok juga merupakan kubu kuat Umno, tapi kita lihat apa yang jadi? Bila rakyat bangkit menolak pemimpin yang korup, PR mampu menawan Ijok,” katanya.
Namun begitu, Anwar juga memberikan teguran kepada pimpinan PR supaya tidak mengikuti sikap pemimpin Umno-BN yang menurutnya takbur, dan lupa diri.
“Ingat, pimpinan PR jangan jadi seperti pemimpin Umno-BN, jangan takbur riak, dan lupa diri apabila sudah memerintah, utamakan hak rakyat dan bukannya pentingkan diri sendiri,” katanya memberi peringatan kepada pemimpin parti berkenaan.
Penasihat Ekonomi Selangor ini juga berjanji sekiranya parti pimpinannya berjaya menawan Putrajaya, tarif elektrik negara dan harga minyak akan diturunkan dalam masa seminggu pemerintahannya.
“Ini janji saya, sekiranya PR berjaya menawan Putrajaya, harga tarif elektrik dan minyak akan saya turunkan.
“Umno-BN akan cakap saya hanya buat janji kosong, tidak berasas, negara boleh bankrup sekiranya saya laksanakan perkara ini, tapi mereka lupa, lapan tahun saya pegang jawatan Menteri Kewangan, bodohkah saya?” katanya mempersoalkan tuduhan kerajaan terhadapnya.
KUALA LUMPUR, 28 Nov — Ketua peneroka Felda, yang juga seorang ahli lembaga pengarah agensi itu, memberi masa 14 hari kepada Pengerusinya Tan Sri Isa Samad yang didakwa mengeluarkan kata-kata menghina beliau dalam satu taklimat di Kuala Pilah awal bulan ini.
Shamsuddin Othman berkata mengeluarkan kenyataan menghina pemimpin Jawatankuasa Perunding Peneroka (JKPP) Felda, selaku ketua kepada para peneroka, dengan mengeluarkan ayat seperti “jika budak kecil, saya dah lempang”, “munafik”, “pembohong”, “penipu” dan “jika saya jumpa saya akan lutu dia”, tidak sepatutnya dikeluarkan oleh Isa selaku pengerusi agensi kemajuan tanah persekutuan itu.
“Ini kali pertama seorang Pengerusi Felda mengeluarkan kata-kata menghina seorang ketua peneroka, bukan sahaja pemimpin peneroka, saya kira keseluruhan peneroka rasa terhina dengan kenyataan Tan Sri Isa,” kata beliau pada sidang media di sini hari ini.
Rakaman ucapan Isa turut ditayangkan pada sidang media yang dihadiri oleh sembilan naib pengerusi JPP Wilayah dan Gerakan Persatuan Wanita.
Berdasarkan kandungan ucapannya, Isa didapati mendakwa bahawa Shamsuddin yang diturut dipanggil sebagai “Pas Sam” tidak faham-faham meskipun sudah berkali-kali dijelaskan mengenai proses penyenaraian Felda Global Ventures.
Shamsudin (gambar), 59, dari Felda Wilayah Johor Baru berkata, Isa mengeluarkan kenyataan itu ketika memberi taklimat mengenai penyenaraian Felda Global Ventures di Kuala Pilah bagi peneroka-peneroka Felda Wilayah Raja Alias pada 12 November lalu.
“Saya akan lantik peguam dan akan memberi masa 14 hari kepada Isa agar meminta maaf. Oleh kerana beliau mengeluarkan kenyataan itu secara terbuka, di khalayak ramai, maka saya mahu beliau meminta maaf secara terbuka di lima akhbar tempatan,” kata beliau lagi.
Shamsuddin yang memegang jawatan Pengerusi JKPP sejak 15 tahun lalu dan sebagai ahli lembaga pengarah sejak lima tahun lalu berkata, beliau menyedari Isa mengeluarkan kata-kata berbuat mengaibkan itu pada sebelah malam 12 November.
“Tetapi saya tidak mengambil apa-apa tindakan, saya pun tidak menghubungi beliau... hanya berharap beliau akan akan menghubungi saya dan meminta maaf, saya harap beliau tahu kesilapan beliau dan tahu apa yang patut dilakukan, tetapi sehingga kini tidak berbuat demikian.
“Jadi, saya terpaksa mengambil tindakan ini, memaklumkan kepada media. Saya mahu beliau memohon maaf dalam 14 hari... saya rasa saya telah dihina dan diaibkan dengan kata-kata ini,” kata beliau yang akan memutuskan tindakan susulan selepas tempoh itu berakhir.
Shamsudin sambil menafikan tindakannya dipengaruhi oleh mana-mana pihak atau parti politik berkata, “saya mahu beri beliau (Isa) peluang.”
Kenyataan media yang dikeluarkan menyebut Isa tidak layak menerajui Felda.
“Malah, boleh disimpulkan cakap-cakap beliau bahawa usaha-usaha beliau lakukan untuk kebaikan peneroka tidak lebih sekadar menanam tebu di bibi,” katanya.
JOHOR BAHRU – Walaupun didakwa gagal menunaikan beberapa janji pilihan raya umum lalu, PKR sekali lagi mengemukakan janji baru untuk menambat hati pengundi.
Kali ini golongan wanita pula menjadi tumpuan apabila Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail berkata, parti itu akan memperkenalkan Bayaran Suri Rumah sebanyak RM1,000 bagi setiap suri rumah yang berpendapatan kurang RM18,000 setahun.
Semasa menyampaikan ucapan dasarnya pada Hari Kedua Kongres Nasional Tahunan Keadilan Kali Ke-8 di Pulai Spring Resort, di sini, semalam, Wan Azizah berkata, bayaran itu bagi mengurangkan beban akibat kenaikan harga barang.
Bagaimanapun katanya, pelaksanaannya hanya dapat dijalankan sekiranya PKR diberi mandat memerintah pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) ini kerana membabitkan peruntukan RM2 bilion setahun.
“Tradisi membela miskin bandar telah kita terjemahkan menjadi dasar-dasar mesra rakyat yang menjadi buah mulut rakyat di pelosok negara dan tradisi ini akan kita teruskan di Putrajaya dengan komitmen baru.
“Antaranya, suri rumah yang berpendapatan kurang RM18,000 setahun dan mempunyai sekurang-kurangnya seorang anak berumur kurang 18 tahun akan diberikan bayaran sebanyak RM1,000,” katanya.
Turut hadir Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim,Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Selain itu, Wan Azizah turut memperkenalkan Bonus Warga Emas berjumlah RM1,000 setahun bagi yang berumur 60 tahun ke atas dan berpendapatan kurang daripada RM18,000 setahun, membabitkan peruntukan RM1.7 bilion setahun.
“Kami juga akan menaikkan bayaran kepada penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kepada RM550 sebulan selaras dengan bayaran tambahan kepada mana-mana isi rumah miskin tegar.
“Elaun penjagaan anak berjumlah RM1,000 setahun bagi setiap anak berumur 12 tahun ke bawah bagi keluarga berpendapatan kurang RM1,000 sebulan.
“Jumlah ini sedikit berbanding jumlah yang ‘bolos’ setiap tahun kepada elit kekuasaan dan jumlah ini bukan sedekah kepada pengemis tetapi hak yang dipulangkan kepada rakyat,” katanya.
Wan Azizah turut menyentuh isu pengangguran graduan yang didakwa semakin kronik.
“Daripada 342,198 rakyat yang menganggur, 51.4 peratus mempunyai pendidikan tinggi iaitu 29.9 peratus tamat pengajian ijazah, 21.5 peratus pula mempunyai diploma.
“Angka-angka ini tidak menipu, masalah ini jika tidak ditangani segera akan menambahkan keperitan rakyat di kala bebanan kos sara hidup memuncak,” katanya.
KUALA LUMPUR 27 Nov. – Bosan, sakit hati dan kecewa antara perasaan yang bersarang dalam hati pengguna jalan raya di ibu negara apabila memikirkan masalah jalan rosak yang terpaksa dilalui setiap hari.
Biarpun pendedahan demi pendedahan dibuat oleh Utusan Malaysia mengenai isu itu, namun ia bagaikan menyiram air ke daun keladi kerana tiada peningkatan ketara terhadap kualiti jalan raya seperti yang diharapkan pengguna.
Laporan Khas Utusan Malaysia bertajuk ‘MRR2 Zon Perang?’ pada Mac 2010, ‘Kualiti Jalan di KL Kelas 3’ (Ogos 2010), ‘Sampai bila jalan berlubang?’ (Ogos 2010) dan ‘Teknologi jalan zaman British’ (Oktober 2011) semuanya mempersoalkan keadaan jalan raya di ibu kota.
Pelbagai usaha dibuat pihak berkuasa untuk memperbaiki keadaan jalan raya selepas laporan mengenainya disiarkan, namun entah di mana silapnya masalah itu kembali berlaku bagai tiada penghujung.
Jalan berlubang, retak, mendap, beralun, tampalan tidak sempurna dan berpasir merupakan situasi yang terpaksa dihadapi pengguna jalan raya menyebabkan pemilik kenderaan pening kepada memikirkan kos tambahan untuk penyelenggaraan kenderaan.
Kerap kali jalan raya yang baru diturap, dikorek semula untuk dipasang kabel atau saluran air dan selepas itu tidak ditampal dengan sempurna menyebabkan keadaan jalan kembali rosak dan tidak rata.
Gambar-gambar yang dirakamkan oleh jurufoto Utusan Malaysia, MOHD. NAIM AZIZ di sekitar ibu negara adalah bukti tentang kesengsaraan yang terpaksa ditempuhi pengguna jalan raya untuk ke destinasi masing-masing.
Di Jalan Raja Chulan berhampiran pusat beli-belah Pavilion, keadaan jalannya tidak mencerminkan prestij kawasan itu yang menjadi tumpuan perniagaan dan pelancong.
Jalannya berlubang, berpasir serta tidak rata akibat turapan yang tidak berkualiti.
Keadaan di Jalan Ampang pula lebih teruk apabila sepanjang laluan itu ada sahaja lubang serta tampalan yang tidak rata dengan ada yang berlubang kembali.
Keadaan jalan yang berpasir tidak menghairankan dengan kehadiran lori mengangkut bahan itu yang keluar masuk ke kawasan pembinaan di kawasan tersebut.
Seharusnya jalan-jalan utama di pusat bandar raya ini perlu berkeadaan baik kerana ia mencerminkan imej negara.
Jalan di kawasan-kawasan perumahan juga turut tidak terlepas daripada mengalami keadaan sama termasuk kawasan yang dianggap elit seperti Taman Tun Dr. Ismail dan persimpangan Mont Kiara ke Sri Hartamas.
Jalan berlubang dan tidak dibaik pulih sejak sekian lama menyebabkan kualiti hidup penghuni terjejas.
Jika jalan raya rosak berlaku di kawasan seperti itu, mungkin keadaan jalan di kawasan perumahan lain di pinggir kota lebih teruk lagi.
Di Taman Cheras Perdana, lubang sedalam satu meter hanya ditutupi dengan kepingan besi seakan mengundang padah kepada pengguna yang melalui jalan tersebut.
Biarpun ia telah ditanda dengan tali keselamatan, namun masih lagi berbahaya kepada pemandu serta penunggang motosikal terutama pada waktu malam dengan jarak penglihatan yang terhad.
Di sepanjang Jalan Kepong dan Jalan Kuchai Lama pula, senario jalan berlubang, retak dan tidak rata sudah menjadi pemandangan biasa.
Ia turut sama berlaku di susur keluar ke Jalan Lingkaran Tengah Dua (MRR2) ke Jalan Genting Klang dan juga di Jalan Loke Yew.
Persoalannya, bilakah semua ini akan berakhir? Pihak berkuasa tempatan dan kementerian yang bertanggungjawab perlu mempunyai pelan dan cara khusus memantau serta menangani masalah jalan rosak agar ia tidak berulang.
Tidak sampai 10 tahun lagi Malaysia akan menjadi negara maju, namun di mana manisnya status itu apabila kualiti jalan raya masih lagi di tahap negara dunia ketiga.