Thursday, November 24, 2011

AFC pertikai standard keselamatan



Bas yang membawa pemain Malaysia diserbu dan diejek oleh ribuan penyokong Indonesia sewaktu memasuki kawasan stadium sebelum perlawanan akhir bola sepak Sukan SEA XXVI di Stadium Utama Gelora Bung Karno, Isnin lalu. - UTUSAN/Izham Jaafar


KUALA LUMPUR - Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) mempersoalkan standard keselamatan stadium di Indonesia selepas insiden rempuhan di Stadium Utama Gelora Bung Karno mengakibatkan dua terbunuh dan seorang kanak-kanak koma pada perlawanan akhir Sukan SEA, kelmarin.

Pemangku Presiden AFC, Zhang Jilong semalam mengarahkan Indonesia agar mengemukakan satu laporan lengkap berhubung tragedi pada Isnin lalu yang turut menyebabkan seorang budak lelaki berusia sembilan tahun koma.

"Kami bersimpati dengan berita buruk itu. Semua perlawanan bola sepak seharusnya dilangsungkan dalam keadaan selamat oleh semua anggota persatuan," kata Zhang di ibu pejabat AFC di sini, semalam.

Insiden yang membawa kepada kematian dua penyokong Indonesia itu berlaku setelah tiket perlawanan antara Indonesia dan Malaysia habis dijual dan stadium tersebut hanya memiliki kapasiti 88,000 penonton.

Perlawanan akhir itu menyaksikan pasukan pelawat muncul juara menerusi penentuan sepakan penalti.

"Mereka sepatutnya bukan sekadar menjaga keselamatan para pemain ketika beraksi di atas padang, tetapi para penyokong turut teruja di luar padang.

"Jadi, kami perlu bertindak meminta kepada persekutuan bola sepak Indonesia menyedia satu laporan lengkap mengenai insiden tersebut," kata Zhang.

Tambahnya, para penonton dilihat memenuhi ruang stadium sehingga melimpah ke ruang tangga.

Polis Indonesia berkata, mereka akan menyiasat berhubung tragedi rempuhan sehingga mengakibatkan kematian yang berlaku selepas ribuan penyokong tanpa tiket berasak memasuki stadium di Jakarta. - AFP

Utusan Malaysia Online - Sukan:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment