Saturday, November 5, 2011

Bicara Chan Kong Choy tipu Pak Lah 2 April 2012


KUALA LUMPUR 4 Nov. - Kes bekas Menteri Pengangkutan, Tan Sri Chan Kong Choy (gambar)yang didakwa atas tiga pertuduhan pindaan menipu bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi berhubung skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) melibatkan kos pembangunan hampir RM1.9 bilion, akan dibicarakan selama 44 hari bermula 2 April tahun depan.
Hakim Datuk Zamani Abdul Rahim menetapkan tarikh-tarikh yang akan berlanjutan sehingga penghujung Ogos 2012 sewaktu kes itu disebut di hadapan beliau di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Hakim yang dibawa dari Mahkamah Tinggi Pulau Pinang bagi mendengar kes tersebut pada mulanya sangat keberatan untuk membenarkan permohonan pembelaan agar perbicaraan dimulakan pada April.
Beliau bagaimanapun membenarkan permintaan peguam bela bagi membolehkan tertuduh mendapatkan beberapa dokumen iaitu minit-minit mesyuarat Kabinet terutamanya berkaitan bon yang dipertikaikan.
Terdahulu, sebelum tarikh-tarikh perbicaraan ditetapkan, pihak pendakwaan yang diketuai oleh Datuk Nordin Hassan memohon agar tiga tuduhan pindaan dibacakan kepada Kong Choy.
Pindaan yang dibuat ialah 'pembiayaan projek PKFZ tersebut akan dibiayai melalui terbitan bon oleh Kuala Dimensi Sdn. Bhd. (KDSB) melalui tiga syarikat berlainan dengan sokongan beliau yang merupakan Menteri Pengangkutan ketika kejadian' yang sebelum ini dinyatakan 'dengan sokongan Kerajaan Malaysia menerusi Menteri Pengangkutan'.
Bekas Timbalan Presiden MCA yang diwakili sekumpulan lima peguam diketuai peguam bela Tan Hock Chuan itu masih mengekalkan pengakuan tidak bersalah beliau terhadap kesemua tuduhan pindaan terbabit.
Pada 28 Februari lalu, Kong Choy didakwa atas tuduhan menyembunyikan fakta mengenai pembiayaan kos pembangunan sehingga Abdullah bersetuju supaya kelulusan diberikan kepada KDSB selaku pemaju siap guna (turnkey developer) sedangkan Perdana Menteri tidak akan berbuat demikian jika fakta-fakta itu dimaklumkan kepada beliau.
Projek pembangunan itu ialah Transshipment Hub di Pulau Indah Free Zon yang meliputi kawasan seluas 404.7 hektar dan dibangunkan dalam fasa berasingan dengan anggaran kos kira-kira RM1 bilion; kerja-kerja pembangunan tambahan bagi projek PKFZ berjumlah RM510.38 juta dan lima fasa pembangunan tambahan bagi projek yang sama bernilai RM335.8 juta.
Fakta-fakta yang disembunyikan adalah pembiayaan tersebut akan dibiayai melalui terbitan bon oleh KDSB melalui Transshipment Megahub Bhd., Valid Ventures Bhd. dan Free Zone Capital Bhd. dengan sokongan beliau yang merupakan Menteri Pengangkutan pada waktu itu.
Ketiga-tiga tuduhan didakwa dilakukan di antara 24 Februari 2004 dan 29 Mac 2006 di Tingkat 4, Blok Utama, Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra di sini.
Bekas menteri Kabinet itu didakwa bagi ketiga-tiga tuduhan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Utusan Malaysia Online - Mahkamah:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment