Thursday, November 10, 2011

Gobalakrishnan diberi amaran




PATHMANABHAN (berkaca mata) bersama dua tertuduh lain diiring keluar dari Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam.


SHAH ALAM - Ahli Parlimen Padang Serai, N. Gobalakrishnan (gambar kecil) semalam diberi amaran oleh Mahkamah Tinggi di sini supaya tidak memberi sebarang komen membabitkan perbicaraan kes yang sedang berjalan.
Gobalakrishnan diperintahkan hadir ke mahkamah untuk memberi penjelasan berhubung kenyataannya yang didakwa 'menyerang' peribadi Manjeet Singh Dhillon, peguam dalam kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain.
Kenyataan Ahli Parlimen itu diterbitkan di dalam akhbar Utusan Malaysia bertajuk 'Manjeet selalu burukkan kerajaan' pada 16 Ogos lalu dan kenyataannya itu turut disiarkan dalam Buletin Utama TV3 pada hari yang sama.
Hakim Datuk Akhtar Tahir berkata, Gobalakrishnan tidak sepatutnya membuat komen yang tidak betul dan subjudis terhadap kes yang sedang berjalan apatah lagi beliau tidak pernah hadir ke mahkamah untuk mengikuti kes itu.
"Biar saya beritahu anda, hakim-hakim di Malaysia lebih bebas daripada apa yang kamu fikirkan. Kami tidak bodoh dan hanya duduk di sini membenarkan Timbalan Pendakwa Raya dan peguam lakukan apa yang mereka mahu.
"Saya akan memberi amaran kepada kamu dan ini adalah amaran terakhir, ada apa-apa kamu nak cakap," kata Akhtar.
Gobalakrishnan kemudian memberitahu mahkamah bahawa beliau tidak mengingati komen yang diberikannya.
Akhtar berkata, beliau telah memanggil wartawan Utusan Malaysia yang menemu bual Ahli Parlimen itu.
"Jika anda lelaki sejati anda akan meminta maaf, jangan ulangi lagi. Saya tidak mahu membuang masa saya. Awak boleh pergi jika awak mahu," kata Akhtar.
Gobalakrishnan yang hadir memakai kemeja panjang biru, berseluar hitam dan berkasut sukan kemudian dilihat terus meninggalkan mahkamah.
Sebelum ini, Akhtar turut memberikan amaran yang sama kepada ketua pengarang dan wartawanUtusan Malaysia, Raja Syahrir Abu Bakar serta memerintahkan penerbit Buletin Utama TV3 untuk hadir ke mahkamah bagi memberi penjelasan berhubung penyiaran kenyataan Ahli Parlimen Bebas itu.
Pada 18 Ogos lalu, Manjeet yang mewakili tertuduh pertama dalam kes berkenaan, N. Pathmanabhan, membangkitkan mengenai penerbitan artikel tersebut yang didakwa subjudis terhadap perbicaraan kes itu.

No comments:

Post a Comment