Thursday, November 3, 2011

KWSP jawab isu RM55.1b

13 pinjaman tanpa jaminan kerajaan patuhi kriteria

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menjelaskan semua 13 pinjaman berjumlah RM55.10 bilion yang diluluskan tanpa jaminan kerajaan, mematuhi kriteria yang ditetapkan.
Pinjaman secara langsung kepada kerajaan, sekuriti yang disokong kerajaan dan kertas bertaraf AAA itu juga diluluskan mengikut bidang kuasa Akta KWSP yang memberi kuasa kepada badan itu memberikan pinjaman kepada Kerajaan Pusat, negeri dan entiti korporat, tertakluk kelulusan Panel Pelaburan KWSP dan Menteri Kewangan.
Berikutan itu, KWSP memberi jaminan bahawa kebajikan pencarum menjadi agenda utama dan akan terus mengekalkan polisi pelaburan berhemah yang turut disokong penyelidikan menyeluruh serta teliti selaras dengan amalan terbaik pelaburan bagi memastikan simpanan ahli selamat.

Pengurus Besar Perhubungan Awam KWSP, Nik Affendi Jaafar, berkata dalam menilai permohonan pinjaman, KWSP akan memastikan setiap bakal peminjam yang berpotensi mempunyai keupayaan bayaran balik yang kukuh, aturan jaminan yang baik dan pulangan setimpal dengan profil risiko.

“Daripada jumlah itu, pinjaman secara langsung kepada kerajaan adalah sebanyak 39 peratus dan sekuriti yang disokong kerajaan 48 peratus, manakala baki 13 peratus pinjaman kepada syarikat bertaraf AAA,” katanya dalam kenyataan media semalam.

Beliau mengulas beberapa laporan media mengenai Laporan Ketua Audit Negara 2010 berkaitan 13 pinjaman yang dikatakan diluluskan tanpa jaminan kerajaan. Minggu lalu, beberapa portal berita melaporkan laporan audit itu mendedahkan beberapa pinjaman yang diluluskan kepada syarikat tertentu ada status ‘meragukan’.

Menurut portal itu, Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang, berkata sehingga 31 Disember 2010, sebanyak 13 pinjaman tanpa jaminan kerajaan berjumlah RM55.1 bilion diluluskan oleh KWSP. Laporan itu juga memetik Ambrin sebagai berkata, RM7.3 bilion diberikan kepada dua peminjam dan RM 21.3 bilion kepada satu peminjam yang dikecualikan jaminan kerajaan kerana mendapat penarafan kredit dari Agensi Penilaian Malaysia Berhad.

Nik Affendi juga menjelaskan bahawa dalam laporan itu, Ketua Audit Negara memberikan penarafan memuaskan bagi aktiviti pelaburan pinjaman kepada kerajaan, selaras dengan kehendak Seksyen 26 Akta KWSP 1991.

Katanya, KWSP sentiasa memberi penekanan kepada kualiti aset serta memantau portfolio pinjaman dengan menyemak kedudukan kewangan peminjam secara tahunan, melawat tapak projek serta mewujudkan persefahaman baik dengan pihak pengurusan peminjam.

Nik Affendi juga menjelaskan KWSP sentiasa memastikan amalan terbaik dalam urus tadbir korporat dan mempunyai garis panduan yang diluluskan untuk membantu panel pelaburan dan pengurusan dalam proses kerja dan membuat keputusan.

Selain itu, KWSP mengambil pendekatan teliti dan berhemah dalam aktiviti pelaburan dengan memastikan pemerosesan pinjaman mengikut rangka kerja risiko KWSP dan had risiko yang dibenarkan oleh Jawatankuasa Risiko Panel Pelaburan.

“Sebagai dana tabung persaraan, KWSP mengambil pendekatan berasaskan risiko pelaburan dan komited untuk mengekalkan polisi pelaburan berhemah dan berisiko rendah. Dalam perkara ini, KWSP mematuhi dengan ketat Alokasi Aset Strategik (SAA) yang dirangka untuk mengekalkan pulangan konsisten dalam jangka panjang dan had risiko yang boleh diterima bagi setiap kelas aset,” katanya.
Berita Harian Online | KWSP jawab isu RM55.1b:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment