KUALA TERENGGANU: “Ayah...Izah akan berkahwin Rabu ini (9 November) dan berharap ayah pulang untuk mewalikan Izah,” rintih Norhafizah Mohd Rahim, 18, mengharapkan bapanya Mohd Rahim Deraman, 39, yang menghilangkan diri hampir setahun pulang ke pangkuan keluarga.
Norhafizah berkata, sejak keluar dari rumah pada awal Disember 2010, bapanya yang bekerja sebagai jurukimpal dengan sebuah syarikat kontraktor, tidak pulang atau menghubungi keluarga sehingga kini.
“Kami adik beradik rindukan ayah dan sejak meninggalkan rumah, kami tidak menerima sebarang berita mengenai ayah dan tidak putus berdoa semoga Allah melindungi ayah walau di mana dia berada,” katanya.
Menurutnya, selepas sebulan bapanya menghilangkan diri, dia berusaha menghubungi lelaki itu namun hampa apabila telefon bimbit bapanya tidak berfungsi.
Sementara itu, ibunya, Zohyah @ Zalina Chik, 40, berkata berikutan kejadian itu, dia yang hilang tempat bergantung terpaksa melakukan pelbagai pekerjaan bagi menyara enam anak dengan empat daripadanya masih bersekolah.
Zohyah @ Zalina yang tinggal di Kampung Tok Jiring, di sini, berkata dia mengharapkan suaminya pulang bagi mewalikan pernikahan anak mereka yang dijadualkan 9 November ini.
“Anak-anak terlalu merindui ayahnya dan demi kebahagiaan mereka, lupakan persengketaan lalu dan pulanglah bagi membolehkan majlis perkahwinan anak berjalan lancar,” katanya yang datang ke pejabat Harian Metro di sini, semalam.
Katanya, dia tidak tahu kenapa suaminya terbabit yang berasal dari Felda Bukit Bading, Kuala Berang meninggalkan keluarga kerana sebelum kejadian hubungan mereka baik sejak berkahwin pada 1991.
No comments:
Post a Comment