KUALA LUMPUR 21 Nov. – Masalah dalaman parti yang tidak diselesaikan dengan segera boleh menyebabkan UMNO dan Barisan Nasional tewas kepada diri sendiri dan bukannya terhadap pihak lawan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13.
Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Syed Ali Alhabshee berkata, peluang untuk menang lebih besar di dalam pilihan raya akan datang tidak akan menjadi kenyataan jika pemimpin tidak mengambil kesempatan dalam keadaan pakatan pembangkang yang semakin lemah.
Beliau berkata, UMNO harus menerima hakikat bahawa musuh yang ditentang tidak sekuat mana tetapi penyakit dalaman yang ditanggung seumpama barah yang boleh meleburkan parti.
“Pembangkang pada hakikatnya langsung tidak ada kekuatan dalaman dan tidak mendapat sokongan sebahagian besar rakyat Malaysia.
“Pembangkang hanya nampak ‘hidup’ kerana mereka menggunakan isu atau persekitaran yang berlaku berlandaskan budaya fitnah dan provokasi,” katanya melalui blognya www.umnobahagiancheras.blogspot.com, hari ini.
Syed Ali berkata demikian bagi mengulas teguran bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berhubung masalah dalaman parti yang masih tidak diselesaikan di dalam Mingguan Malaysia, semalam.
Di dalam siaran bertajuk ‘Tanggungjawab pemimpin UMNO bersihkan sampah-sarap fitnah pembangkang’ itu, Syed Ali menyifatkan masalah yang ditanggung parti sebagai penyakit dalaman yang jika tidak diubati akan mengundang kekalahan yang tidak sepatutnya.
“Secara terus-terang dan sejujurnya, jika UMNO mahu kemenangan besar pada pilihan raya akan datang, penyakit dalaman itu perlu diubat segera,” katanya.
Antara masalah yang paling ketara pada masa ini adalah kegagalan para pemimpin utama turun padang dan bersama-sama menangkis tohmahan dan tuduhan yang dilemparkan pembangkang.
Katanya, para pemimpin tidak seharusnya mengharapkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan, Tan Sri Muhyiddin Yassin semata-mata untuk mempertahankan parti daripada menjadi mangsa serangan fitnah pembangkang.
“Seingat saya sewaktu era Mahathir, panglima-panglima UMNO terutama barisan Majlis Tertinggi akan bingkas bangun mempertahankan maruah parti.
“Sampai bila sindrom bisu ini akan berlanjutan? Hanya rakyat di peringkat akar umbi yang lebih arif menilai betapa kuat atau lemahnya UMNO,” ujarnya.
'via Blog this'
No comments:
Post a Comment