Tuesday, November 22, 2011

SPICE: 4 individu saman kerajaan P. Pinang, Guan Eng



PEMIMPIN parti komponen Barisan Nasional Pulau Pinang berkumpul di luar mahkamah sebelum memfailkan saman terhadap kerajaan DAP Pulau Pinang di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, semalam.


PULAU PINANG 21 Nov. - Empat individu memfailkan saman terhadap 14 defendan termasuk Kerajaan DAP Pulau Pinang dan Ketua Menterinya, Lim Guan Eng bagi menuntut perjanjian projek pembinaan pusat konvensyen dan pameran antarabangsa bawah tanah dikenali sebagai SPICE bernilai RM300 juta diisytiharkan batal dan tidak sah.

Saman yang difailkan oleh Khoo Yen Her, R. Rama Krishnan, Abd. Manan Abd. Manap dan K. Sathiasilan itu juga bertujuan mencabar kesahihan perjanjian antara Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dengan pemaju, Eco Meridian Sdn. Bhd. (EMSB) yang merupakan anak syarikat SP Setia Bhd.

Writ saman tersebut difailkan oleh keempat-empat mereka selaku pihak plaintif melalui firma guaman Tetuan Thayalan & Associates di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini.

Sebelum saman itu difailkan, kira-kira 50 ahli parti komponen Barisan Nasional (BN) negeri berarak sejauh hampir lima meter ke Mahkamah Tinggi sebagai tanda sokongan kepada pihak plaintif.

Pihak plaintif menamakan Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Pulau Pinang sebagai defendan pertama manakala Guan Eng dan 10 lagi ahli MMK sebagai defendan kedua hingga ke-12. Turut dinamakan sebagai defendan ialah MPPP sebagai defendan ke-13 dan EMSB defendan ke-14.

Pihak plaintif mengemukakan tuntutan saman itu bagi pihak diri mereka sendiri dan wakil kepada semua pembayar cukai pintu dan cukai tanah di negeri ini.

Dalam pernyataan tuntutan mereka, pihak plaintif menyatakan, pada 19 Ogos lalu, MPPP telah memasuki satu perjanjian dengan EMSB untuk syarikat itu membangunkan projek SPICE dengan kos RM300 juta di atas tanah milik MPPP di tapak Pusat Konvensyen Antarabangsa Pulau Pinang (PISA).

Bagaimanapun, dakwa plaintif, laporan yang dibuat pihak media mengenai projek itu telah menimbulkan kebimbangan sesetengah pihak mengenai beberapa aspek perjanjian yang telah ditandatangani tersebut.

Pihak Plaintif pada 24 Oktober lalu telah menghantar surat kepada MPPP untuk memohon mendapatkan salinan perjanjian itu tetapi jawapan yang diterima pada 2 November lalu menyatakan MPPP tidak boleh membekalkan perjanjian tersebut dan butir-butir mengenainya kerana tidak mempunyai 'locus standi' (hak di sisi undang-undang).

Sehubungan itu, pihak plaintif menuntut satu perisytiharan bahawa arahan yang diberikan Pihak Berkuasa Negeri DAP Pulau Pinang kepada MPPP untuk memasuki perjanjian tersebut adalah bercanggah dengan Seksyen 9(1) Akta Kerajaan Tempatan, 1976.

Utusan Malaysia Online - Mahkamah:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment