Monday, November 21, 2011

Perokok belanja RM15 juta sehari

Lebih lima juta sukar henti merokok, budaya mula pengaruhi pelajar sekolah

KOTA BHARU: Lebih lima juta perokok tegar di negara ini, termasuk mereka yang merokok sejak bangku sekolah membelanjakan kira-kira RM15 juta sehari untuk membeli bahan itu bagi melepaskan ketagihan.
Perangkaan itu didedahkan Pakar Perubatan Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian, Prof Zulkfli Ahmad, menerusi syarahan umum sempena pelantikannya sebagai Profesor yang menjalankan kajian berhubung Pengawalan Tembakau di Malaysia: Antara Ekonomi, Politik, Agama dan Kesihatan sejak 1986.
Bilangan perokok tegar semakin meningkat, sekali gus kempen bahaya merokok kurang berkesan. - Zulkfli Ahmad, Pakar Perubatan Pusat Pengajian Sains Perubatan USM Kubang Kerian
“Pertambahan bilangan perokok remaja dan lelaki dewasa serta wanita di seluruh negara menunjukkan budaya merokok masih sukar dibuang meskipun pelbagai kempen dilancarkan Kementerian Kesihatan dan badan bukan kerajaan (NGO).

“Jumlah perokok di negara ini juga berada pada tahap membimbangkan, malah kira-kira 10,000 kematian setahun dikesan akibat daripada tabiat merokok dicatatkan hasil kajian ini, malah ini menunjukkan sikap rakyat negara ini masih memandang remeh terhadap kesan ketagihan rokok dan kempen antimerokok dijalankan kementerian,” katanya selepas membuat syarahan umum berhubung hasil kajiannya itu, di sini, semalam.

Pada syarahan umum itu, seorang lagi pakar perubatan PPSP USM, turut dilantik sebagai Profesor yang berjaya menjalankan kajian berhubung ‘Statistik Dalam Penyelidikan Perubatan dan Sains Kesihatan: Dahulu, Kini dan Akan Datang’ iaitu Prof Syed Hatim Noor Syed Kassim Noor.

Zulkifli berkata, beliau juga terkilan apabila hasil kajiannya itu mendapati bilangan perokok tegar semakin meningkat, sekali gus kempen mengenai bahaya merokok dilihat kurang memberi kesan.
“Bilangan perokok masih gagal dikurangkan, malah lebih membimbangkan apabila budaya merokok itu mula mempengaruhi remaja yang masih bersekolah,” katanya.

Katanya, tabiat merokok itu memberi kesan buruk terhadap kesihatan, persekitaran dan memberi kesan sampingan kepada masalah ekonomi keluarga, sosial selain mengganggu perancangan masa depan remaja itu sendiri.

Beliau berkata, kajian Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) mendapati kira-kira enam juta kematian dikesan akibat rokok setahun.
Berita Harian Online | Perokok belanja RM15 juta sehari:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment