Tarikh : December 29, 2011
SHAH ALAM - Pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk meminda Seksyen 15, Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) serta memberi kebebasan mahasiswa untuk berpolitik dilihat sekadar omong kosong.
Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, gerakan kebebasan akademik yang dipimpin mahasiswa kini berdepan dengan pelbagai tekanan politik khususnya Umno.
Katanya, pemimpin Umno dilihat gusar dan resah dalam menghadapi asakan mahasiswa.
"Perkembangan yang membabitkan Adam Adli, mahasiswa dari Universiti Perguruan Sultan Idris (Upsi) yang kini berdepan dengan tindakan di bawah Auku sememangnya menzahirkan ketakutan Umno terhadap gelombang kebangkitan mahasiswa.
Tindakan sama turut dilihat dalam beberapa kes terdahulu dengan tindakan keras oleh pihak universiti termasuk risiko dibuang kampus," katanya dalam kenyataan media, semalam.
Beliau berkata, insiden di depan ibu pejabat Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) yang dikaitkan dengan tuntutan mahasiswa tempoh hari diangkat oleh media milik arus perdana seolah-olah ia merupakan satu jenayah besar.
"Isu-isu yang berkait dengan fitnah, ugutan bunuh, jenayah dan rasuah diketepikan. Tindakan menghukum menggunakan Auku terhadap mahasiswa selepas insiden tersebut jelas bertujuan untuk menakutkan dan langkah untuk mengendurkan semangat serta iltizam mahasiswa.
Saya menggesa agar dihentikan semua bentuk tekanan terhadap mahasiswa kerana jelas ini merupakan kehendak politik pimpinan Umno yang terdesak," tegasnya.
Anwar berkata, Pakatan Rakyat turut bertekad dan komitmen untuk memansuhkan Auku serta memberi penumpuan kepada usaha mengangkat mutu pendidikan berteraskan prinsip kebebasan akademik, pencerahan dan pemerkasaan intelektual.
'via Blog this'
No comments:
Post a Comment