Thursday, December 29, 2011

Seleweng wang istana: Polis rakam keterangan 10 individu


KOTA BHARU 28 Dis. - Polis negeri mengambil keterangan daripada 10 individu berhubung tiga laporan polis yang dibuat Penasihat Undang-undang Istana Kelantan, Datuk Sukri Mohamed terhadap sembilan blog yang didakwa memfitnahnya berkaitan penyelewengan membabitkan jumlah wang melebihi RM1.8 juta.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, pihaknya menerima ketiga-tiga laporan berkenaan dan semuanya dalam siasatan polis dan hampir lengkap.

"Dua daripada laporan dibuat pada bulan lalu manakala satu lagi pada bulan ini. Polis sudah ambil keterangan daripada 10 individu," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen di sini, hari ini.

Jalaluddin bagaimanapun tidak memberi sebarang maklumat mengenai identiti kesemua individu yang diambil keterangan mereka.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan kenyataan Sukri yang menafikan laporan beberapa blog termasuk blog sultanik.wordpress.com yang mendakwa beliau terbabit dengan penyelewengan wang Yayasan Sultan Kelantan berjumlah RM700,000.

Selain itu, beberapa blog turut mendakwa beliau menipu isteri kedua bekas Sultan Kelantan, Cik Puan Elia Suhana Ahmad membabitkan wang berjumlah RM1.8 juta.

Dalam perkembangan lain, Jalaluddin berkata, polis negeri berjaya mencapai indeks penilaian prestasi (KPI) yang ditetapkan apabila kadar jenayah turun sebanyak 14.7 peratus tahun ini setakat 25 Disember lalu.

"Kes yang berjaya diselesaikan adalah 49 peratus dan menunjukkan kita berjaya mencapai KPI yang ditetapkan dan usaha akan diteruskan lagi untuk tahun depan," katanya.

Terdahulu, beliau turut menyerahkan surat penghargaan kepada 65 pegawai dan anggota cemerlang serta penghargaan kepada orang awam kerana memberi maklumat mengenai kejadian kes rogol bersiri di negeri ini, baru-baru ini.

Utusan Malaysia Online - Jenayah:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment