KUANTAN - Pendedahan senarai kontraktor yang terlibat dalam pembinaan tapak kilang Lynas Advanced Material Plant (LAMP) akan memberikan peluang kepada rakyat untuk mengetahui bentuk bahaya yang bakal dibawa kilang itu terhadap manusia dan alam sekitar.
Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh berkata, beliau mengalu-alukan kenyataan Menteri Besar, Datuk Seri Diraja Adnan Yaakob supaya Lynas mendedahkan senarai kontraktor yang terlibat.
Menurutnya, gesaan Adnan itu memberikan maklumat terhadap orang ramai berikutan selama ini rakyat hanya mengetahui Ranhill dan UGL yang menjadi kontraktor utama Lynas.
“Sama ada kontraktor yang dilantik adalah penyokong Pakatan Rakyat (PR) atau penyokong Barisan Nasional (BN), tidak membawa apa-apa perbezaan. LAMP tetap berbahaya, tanpa mengira siapa yang membinanya,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Menurutnya, beliau yakin Adnan tidak menerima maklumat tepat mengenai risiko bahaya yang dihadapi.
“Besar kemungkinan segala maklumat yang disampaikan kepada Adnan ialah maklumat dari Lynas sendiri.
“Lynas cukup bijak di dalam mengelirukan orang ramai, termasuk juga mengelirukan agensi kerajaan dengan fakta yang mengelirukan,” dakwanya.
Dakwanya, laporan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) juga tidak pernah mengatakan bahawa LAMP adalah selamat.
Fuziah juga memberitahu, selepas laporan IAEA dikeluarkan, ada beberapa pindaan perlu dilakukan Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB) namun AELB AELB menggunakan seksyen 41 dalam Akta 304 (berkenaan kerahsiaan) untuk tidak mendedahkan tindakan tersebut
kepada orang awam.
“Selama ini Lynas berani bercakap hanya dari aspek radiasi luaran tanpa berani bercakap tentang radiasi dalaman serta tidak berani bercakap tentang sisa buangan berbentuk radioaktif (WLP solid waste) dari LAMP.
“Ini bertujuan mengelirukan semua pihak termasuk agensi kerajaan dan malang sekali buat rakyat kerana segala fakta yang mengelirukan oleh Lynas di ulang oleh pihak agensi kerajaan sebelum ini tanpa usul periksa,” katanya.
Beliau yakin Menteri Besar berjiwa rakyat dan mahukan yang terbaik buat rakyat selain menggesa Menteri Besar mengarahkan supaya syarat-syarat yang dikenakan oleh Jabatan Alam Sekitar (Jas) Negeri ke atas Lynas sewaktu Jas meluluskan laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) pada 15 Februari 2008 didedahkan terhadap orang awam.
Fuziah turut menegaskan isu LAMP ialah isu yang menggugat keselamatan awam dan harus di tangani bersama.
“Sekiranya pihak BN tidak terus mempolitikkan isu ini, ia adalah lebih baik buat rakyat,” katanya.Gesa dedah senarai kontraktor - Pahang - Sinar Harian:
No comments:
Post a Comment