Saturday, December 10, 2011

Guan Eng teruja naik kapal selam

Kosmo! Online - Negara:



GUAN ENG mencuba alat peninjau kapal selam KD Tun Razak semalam.


LANGKAWI – Keupayaan kapal selam negara beroperasi di bawah permukaan laut diakui Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng setelah merasai sendiri pengalaman menyelam di perairan Langkawi petang semalam.

Ketua Menteri Pulau Pinang itu disertai dua Timbalannya, Datuk Mansor Othman serta Dr. P. Ramasamy menaiki kapal selam KD Tun Razak kira-kira pukul 3 petang dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi.

Mereka dibawa menaiki dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sebelum mendarat di geladak frigat KD Lekiu.

Mereka kemudian dipindahkan ke sebuah bot laju untuk merapati kapal selam KD Tun Razak yang berlabuh di tengah-tengah perairan Awana Porto Malai dan selepas itu belayar kira-kira 30 batu nautika ke barat perairan Langkawi.

Pelayaran KD Tun Razak yang turut disertai Panglima Armada TLDM, Laksamana Madya Datuk Jamil Osman itu kemudian menyelam pada kedalaman kira-kira 55 meter.

Guan Eng, Mansor dan Ramasamy berada kira-kira satu jam setengah di atas KD Tun Razak sebelum kapal itu timbul di permukaan laut dan dibawa kembali ke KD Lekiu dan tiba semula di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi kira-kira pukul 6.50 petang.

Baru-baru ini, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menjemput tujuh pemimpin parti pembangkang termasuk Ketua Publisiti DAP, Tony Pua; Timbalan Presiden Pas, Mohammad Sabu; Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Khalid Samad serta Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar yang begitu lantang mengkritik keupayaan KD Tun Razak untuk menaiki dan melihat sendiri aset pertahanan negara itu. Nurul Izzah bagaimanapun memaklumkan beliau tidak boleh datang.

Guan Eng yang ditemui kemudian memuji keupayaan kru kapal selam TLDM mengoperasikan KD Tun Razak yang merupakan aset strategik bagi mengawasi kedaulatan perairan Negara.

No comments:

Post a Comment