Monday, December 19, 2011

Irfan Mukhriz miliki daya ingatan luar biasa



IRFAN Mukhriz Abdul Malek mengangkat ibu jari selepas menyiapkan lukisan Angry Bird yang dilukisnya semasa ditemui di rumah neneknya di Taman Rumah Murah Baling, Baling, Kedah, semalam.


BALING 18 Dis. - Kanak-kanak berusia lima tahun, Irfan Mukhriz yang mempunyai keistimewaan tersendiri terutama dari segi daya ingatan luar biasa kini menjadi ikon kepada kepada rakan sebayanya di daerah ini.

Keistimewaan itu ialah dia mampu melukis dengan baik mengikut imaginasi sendiri, mengingati sesuatu dengan cepat dan boleh menghafal ayat al-Quran dengan mudah dan lancar serta cepat.

Dia yang amat meminati Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, mempunyai kelebihan berkenaan sejak usia tiga tahun lagi apabila dapat mengenali semua model kereta dan nama bekas pemimpin negara dengan hanya melalui gambar.

Anak kedua daripada dua beradik itu berkata, setiap kali melihat wajah tokoh itu melalui akhbar atau kaca televisyen dia berkeinginan untuk menemui pemimpin tersebut dari dekat.

Ketika ditemui di rumah neneknya, Che Bashah Ahmad, 57, di Taman Rumah Murah dekat sini hari ini, Irfan Mukhriz yang pemalu menunjukkan kebolehannya melukis gambar kartun terkini Angry Bird.

Menurut ibunya, Norwahida Ahmad, 32, Irfan Mukhriz mampu mengingati nombor plat kereta sesiapa sahaja yang dikenalinya termasuk kenderaan milik rakan bapanya.

"Irfan bukan sahaja mahir melukis malah dapat mengingati sesuatu dengan cepat dan mudah," katanya.

Pada pertemuan itu, Irfan Mukhriz turut membaca surah al-Fatihah dan al-Baqarah dari ayat pertama hingga ayat lima dengan baik dan lancar.

Norwahida yang merupakan seorang ahli perniagaan berkata, anaknya yang belajar di Smart Reader Kids Wangsa Maju Kuala Lumpur itu akan pulang ke rumah nenek dan datuknya di sini setiap kali cuti sekolah.

Utusan Malaysia pada 26 September 2009 pernah menyiarkan kebolehan Irfan Mukhriz yang mampu mengingati nama pemimpin negara dan nama model kereta.

Norwahida berkata, selain minat melukis, anaknya itu juga suka bermain kereta kawalan jauh dan membaca buku.

Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri:

No comments:

Post a Comment