SANTIAGO 17 Dis. - Sepasang kembar siam perempuan berusia 10 bulan dilapor berada dalam keadaan kritikal, selepas menjalani pembedahan pemisahan dengan satu daripadanya tidak menunjukkan sebarang perkembangan, kata pegawai hospital.
Pengarah Hospital Luis Calvo Mckenna, Osvaldo Artaza berkata, keadaan kembar itu sangat kritikal dan pihak hospital juga mendapati kedua-dua bayi tersebut menunjukkan perkembangan berbeza.
Bayi kembar siam itu, yang bercantum di bahagian dada dan pelvis, dipisahkan dalam satu pembedahan yang dijalankan selama 20 jam pada Selasa lalu.
Maria Jose, bertubuh lebih kecil daripada kembarnya, Maria Paz, berada dalam keadaan serius dan hanya mempunyai harapan tipis untuk hidup selepas diberikan bantuan pernafasan pada Khamis lalu.
Menurut Artaza, keadaan Maria Paz lebih baik selepas dipisahkan dalam pembedahan yang melibatkan kira-kira 100 pakar perubatan.
"Pasukan perubatan berdepan kesukaran pada beberapa jam pertama selepas pembedahan," katanya.
Pembedahan itu melibatkan pemisahan toraks, hati dan pelvis sebelum pencantuman semula organ-organ serta tisu-tisu dilakukan.
Dua bulan sebelum itu, satu pembedahan awal dilakukan untuk memisahkan kaki yang dikongsi kembar terbabit.
Kedua-dua bayi itu merupakan anak kepada pemandu trak dan seorang suri rumah yang tinggal di bandar Loncoche, selatan negara ini.
Menteri Kesihatan, Jaime Manalich yang melawat kembar itu pada Rabu lalu berkata, kerajaan Chile akan menanggung pembedahan tersebut yang melibatkan kos lebih AS$200,000 (RM635,400). - AFP
No comments:
Post a Comment