Sunday, December 18, 2011

Upah Penyiasat Persendirian Awasi Gerak Geri Pasangan

KUALA LUMPUR: Perbuatan curang tidak baik untuk perkahwinan tetapi ia membawa keuntungan kepada penyiasat persendirian yang melaporkan peningkatan dalam jumlah klien yang sangsi terhadap pasangan masing-masing.

Menurut beberapa firma penyiasatan terkemuka di Lembah Klang, klien mereka sanggup membayar sehingga RM1,500 sehari untuk membuktikan kecurangan pasangan masing-masing sebelum memulakan prosiding penceraian.

Kristian Nair dari Kay Spy Solutions berkata, permintaan untuk menyiasat hubungan sulit menyumbang kepada 90 peratus perniagaan tersebut dengan kira-kira 100 pertanyaan diterima setiap bulan.

Jumlah tersebut menunjukkan Malaysia berada di ranking ketiga daripada 36 negara yang melakukan kecurangan terhadap pasangan masing-masing.

Dalam kajian yang dilakukan Durex, 33 peratus lelaki dan 39 peratus wanita di Malaysia mengaku menipu pasangan masing-masing.

Nair berkata, kebanyakan kliennya terdiri daripada suami yang tidak berpuas hati dengan kecurangan isteri mereka.

"Harga untuk mengawasi gerak-geri pasangan klien setiap hari adalah sebanyak RM1,000 dan boleh mencecah RM1,500 jika tugas tersebut memerlukan mereka berada di luar kawasan," katanya.

Seorang detektif dari Jay Private Investigations di sini berkata, kes melibatkan pasangan yang kaki perempuan menyumbang pendapatan terbesar kepada syarikat tersebut.

Kebanyakan klien adalah wanita yang sudah berkahwin yang mengesyaki suami mereka menjalin hubungan sulit dengan wanita lain.

"Kami melakukan siasatan di seluruh negara. Kadang kala, kami turut mengikut suami klien ke Thailand," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif, MVD International, Aziz Ariarasa Abdullah berkata, pengintipan terhadap pasangan suami isteri menjana pendapatan sebanyak 10 peratus kepada perniagaan itu.

"Secara purata, kami mengendalikan tujuh kes sebulan dengan setiap kes memerlukan sekurang-kurangnya pengintipan selama tiga hari," katanya.

Ekoran persaingan yang sengit, beberapa penyiasat persendirian mengiklankan perkhidmatan mereka di surat khabar, secara online dan di belakang teksi.

Terdapat kira-kira 26 syarikat mengiklankan perkhidmatan mereka dalam laman web 88db.com tetapi jumlah itu dipercayai mungkin lebih tinggi.

Mereka berkata, terdapat beberapa penyiasat tidak berdaftar yang beroperasi hanya menggunakan kamera dan kereta.

Pakar psikologi, Prof Dr Sarinah Low Abdullah berkata, perubahan persekitaran membuka ruang kepada lelaki dan wanita untuk bersosial.

"Dalam kehidupan serba moden pada hari ini, godaan ada di mana saja dan kadang kala anda lemah untuk menghadapinya.

"Kita akan tertarik dengan orang lain terutamanya apabila seseorang yang anda temui itu menepati citarasa anda," katanya.
-mstar

No comments:

Post a Comment