Thursday, December 15, 2011

Keputusan Liong Sik bela diri atau dibebaskan, 27 Januari

KUALA LUMPUR 14 Dis. - Bekas Menteri Pengangkutan, Tun Dr. Ling Liong Sik akan mengetahui nasibnya pada 27 Januari depan sama ada perlu membela diri ataupun dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini daripada pertuduhan menipu Kerajaan Malaysia.
Tarikh itu ditetapkan hari ini oleh Hakim Datuk Ahmadi Asnawi sejurus selepas selesai mendengar hujahan di akhir kes pendakwaan terhadap bekas Menteri Kabinet itu.
Prosiding tersebut telah berlangsung selama 30 hari sejak 1 Ogos lalu dan seramai 25 saksi pendakwaan telah memberikan keterangan.
Ketika Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah menutup kes pendakwaan pada 17 November lalu, peguam Wong Kian Kheong yang mewakili Liong Sik memaklumkan, pihaknya akan memanggil seramai 12 daripada 113 saksi yang ditawarkan kepada pembelaan.
Saksi tersebut termasuk dua bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim.
Liong Sik, 67, yang juga bekas Presiden MCA dibicarakan atas tuduhan menipu Kerajaan Malaysia dengan tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta-fakta berkaitan pembelian tanah seluas 335.8 hektar milik Kuala Dimensi Sdn. Bhd. (KDSB) di Pulau Indah, Klang bagi projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) membabitkan RM1.08 bilion.
Beliau didakwa melakukan penipuan tersebut antara 25 September dan 6 November 2002 di Tingkat 4, Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya.
Terdahulunya, Hakim Ahmadi mendengar hujahan Tun Abdul Majid yang memohon mahkamah membuat kesimpulan yang munasabah terhadap Liong Sik.
Beliau berkata, sebagai Menteri ketika itu, Liong Sik bertanggungjawab memaklumkan Kabinet kedudukan sebenar bahawa kadar faedah 7.5 peratus setahun adalah tinggi dan melebihi harga tanah tersebut iaitu RM25 sekaki persegi.
Sejak awal lagi tertuduh, kata Tun Abdul Majid, mahu membantu KDSB dengan menjelaskan hutang atas sebab-sebab yang diketahui olehnya.
Menurut beliau, tanah KDSB itu mempunyai banyak sekatan dan bagi membolehkan ia dipindah milik melalui penjualan dan semua sekatan itu perlu dibatalkan.
Berdasarkan keterangan, Kerajaan juga berpendapat harga RM1.08 bilion terlalu mahal sehinggakan tiada keputusan muktamad dicapai, ujar beliau.
Dalam urusan pengambilan balik tanah, Kerajaan mengambil tanggungjawab untuk menyelesaikan hutang berhubung tanah itu yang berasaskan penilaian oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH).
Sebab itu, kata Tun Abdul Majid, Kementerian Kewangan bertegas mahukan ia diperoleh melalui pengambilan balik tanah.
Menurut beliau, meskipun Liong Sik mengetahui fakta tersebut namun bekas Menteri itu masih mahukan tanah tersebut diperoleh melalui pembelian.
Liong Sik seterusnya, kata Tun Abdul Majid, mengeluarkan surat sokongan bagi membolehkan pengeluaran bon untuk membiayai pembelian tanah tersebut.
Surat sokongan itu telah menyebabkan sebuah firma penarafan, memberikan taraf paling tinggi iaitu AAA bagi terbitan bon tersebut bagi membolehkan KDSB melunaskan semua hutangnya berhubung tanah tersebut.
Utusan Malaysia Online - Mahkamah:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment