KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak bercadang membatalkan tindakan menyenarai hitam pemilik kenderaan, terutamanya yang terlibat dengan kesalahan trafik di bawah saman ekor.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein berkata sehingga 30 April lepas sebanyak 11,814,008 saman ekor atau Notis Saman POL 170A masih belum dijelaskan lagi.
"Walau bagaimanapun tindakan menyenarai hitam ini ditangguhkan buat sementara waktu kerana PDRM bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Peguam Negara sedang mengemas kini prosedur berkaitan dengan tindakan tersebut," katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Sim Tong Him (DAP-Kota Melaka) pada sidang Dewan Rakyat di sini, Selasa.
Sim ingin tahu jumlah tunggakan saman ekor yang masih belum dijelaskan serta adakah benar tindakan menyenarai hitam telah dibatalkan dan sama ada kementerian bercadang menghadapkan Orang Kena Saman (OKS) yang belum menjelaskan saman ke mahkamah.
Hishamuddin berkata, bagi pesalah trafik OKS, mereka boleh menyelesaikan saman masing-masing sama ada dengan membayar kompaun atau melalui perbicaraan di mahkamah. Beliau berkata, dalam hal tersebut, tindakan yang dilaksanakan oleh PDRM terhadap pesalah trafik adalah lebih bersifat prosedural dengan pendekatan awal iaitu melalui khidmat nasihat bagi menyemai budaya pemanduan berhemah dan mematuhi peraturan jalan raya kepada pengguna.
Hishammuddin berkata, pendekatan itu bertujuan untuk menggalakkan orang ramai tampil untuk menyelesaikan saman mereka di pusat pembayaran saman seperti ibu pejabat polis daerah (IPD), pejabat pos, kaunter PDRM di pusat beli-belah terpilih serta portal iaitu www.myeg.com.my dan www.rilek.com.my.
"Sekiranya OKS enggan menyelesaikan notis ini, PDRM akan menjalankan operasi mencari dan mengesan pemilik yang melakukan kesalahan untuk menyerahkan saman POL 257 dengan turut menyatakan tarikh serta masa untuk mereka hadir ke mahkamah, bagi mencari pertuduhan,"katanya. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment