MUHD KHAIRUN (tengah) bersama Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Michael Chong (kanan) pada sidang media di Wisma MCA, semalam.
KUALA LUMPUR: Sindiket ramalan nombor ekor kini menjadikan orang Melayu sebagai sasaran baru kegiatan penipuan dengan memperdayakan mereka melalui risalah iklan menawarkan khidmat sami Buddha yang menjanjikan kemenangan kepada pembeli permainan judi itu.
Perubahan taktik itu selepas kegiatan mereka memperdaya orang Cina dan India sebelum ini sudah terbongkar.Terbaru, satu sindiket yang aktif di sekitar Lembah Klang dikesan cuba mengedarkan risalah itu dengan meletakkannya pada cermin kenderaan milik orang Melayu di sekitar kompleks beli-belah terkemuka di ibu negara dan Selangor.
Anggota sindiket berkenaan dipercayai bijak mengesan kenderaan milik orang Melayu melalui pelekat pada cermin kenderaan yang menunjukkan pemiliknya orang Melayu atau mereka yang beragama Islam sebelum meletakkan risalah berbahasa Melayu.
Mangsa yang terpedaya kemudian akan menghubungi nombor telefon yang tertera pada risalah sebelum diminta memasukkan sejumlah wang ke dalam akaun bank berdasarkan jumlah wang yang ingin dimenangi mangsa sebelum memaklumkan nombor yang diramalkan menang dalam tempoh dua hingga tiga hari.
Difahamkan, sindiket berkenaan disyaki mempergunakan individu yang kesempitan wang untuk membuka akaun simpanan sebagai cara mengelirukan pihak berkuasa yang cuba mengesan kegiatan mereka.
Pengerusi Biro Aduan dan Komuniti Pemuda UMNO, Datuk Muhd Khairun Aseh Che Mat berkata, pihaknya memandang berat perkara itu selepas menerima banyak aduan daripada orang ramai yang terkejut dengan perkembangan terbaru itu.
“Sebagai orang Islam, mereka diharamkan berjudi dan membeli nombor ekor namun kita tidak menolak kemungkinan ada di antara mereka yang rambang mata untuk mendapat wang dengan cara yang cepat sehingga terpedaya dengan taktik licik sindiket terbabit.
“Jika sebelum ini sindiket itu menyasarkan orang bukan Islam sebagai mangsa tetapi kini modus operandi mereka sudah berubah dengan menyasarkan orang Melayu dan kita anggap ini sebagai penghinaan pada umat Islam,” katanya pada pemberita di Pejabat Biro Pengaduan Awam MCA di Wisma MCA di sini, semalam.
Beliau berkata, biro itu akan bekerjasama dengan pihak berkuasa selain menggerakkan jentera memantau kegiatan sindiket itu.
No comments:
Post a Comment