KUALA PILAH 20 Jun - Pemimpin Jemaah Islamiah (JI), Abu Bakar Bashir bersama seorang pengikutnya, Abdullah Sungkar pernah datang ke sebuah maahad di sini selepas melarikan diri dari Indonesia pada tahun 1995.
Pihak pengurusan Maahad Ittiba' As-Sunnah yang terletak di Kampung Parit di sini mengaku mereka menerima kedatangan Abu Bakar dan Abdullah ketika itu atas semangat membantu saudara Islam yang sedang diburu oleh pemerintah negara berkenaan.
Setiausaha maahad berkenaan, Hazman Hashim berkata, pada mulanya hubungan antara pusat pengajian itu dengan dua pemimpin tersebut berjalan seperti biasa kerana ketika itu mereka belum dikategorikan sebagai militan.
Katanya, kedua-dua mereka tidak tinggal di maahad itu sebaliknya menyewa sebuah rumah tidak jauh dari maahad itu.
"Bagaimanapun, tidak lama kemudian, pihak maahad memutuskan hubungan dengan mereka selepas diminta berbaiah dan bersetuju menyokong perjuangan Abu Bakar.
"Kami tidak dapat bersetuju dengan baiah itu memandangkan perjuangan yang dilakukan oleh Abu Bakar tidak selaras dengan objektif maahad ini.
"Selepas itu, pihak kami tidak lagi mempunyai hubungan dengan Abu Bakar sehingga hari ini. Malah kami membantu memulihkan beberapa orang yang terpengaruh dengan ideologi yang cuba ditanamkan oleh Abu Bakar," katanya pada sidang akhbar di maahad tersebut di sini hari ini.
Sidang akhbar itu dibuat bagi menafikan laporan Utusan Malaysia hari ini yang mengaitkan Maahad Ittiba As-Sunnah dengan kegiatan merekrut belia berasaskan ideologi pemimpin militan JI.
Turut hadir pada sidang akhbar itu, Ketua Wanita UMNO Bahagian Kuala Pilah, Datuk Norhayati Omar dan Ketua UMNO Cawangan Kampung Parit, Datuk Mohamad Kamel Md. Yusoff.
Datuk kepada Norhayati dan bapa kepada Mohamad Kamel adalah antara pengasas maahad yang ditubuhkan pada 1952.
Hazman turut menafikan maahad ini terlibat merekrut pelajar sekolah untuk menjadi militan kerana ia hanya mengajar pengajian al-Quran kepada beberapa warga tua yang tinggal di sekitar kampung tersebut.
"Kami tiada pelajar berusia remaja. Jadi bagaimana kami boleh dituduh melatih militan. Tuduhan itu tidak benar sama sekali dan dibuat oleh pihak tertentu yang iri hati dengan maahad ini," ujarnya.
Katanya, sejak ditubuhkan pada 1952, pihak maahad tidak pernah menyembunyikan sebarang kegiatannya daripada pihak berkuasa.
Bagaimanapun, pada 12 November lalu, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) menahan tiga lelaki termasuk seorang yang mendakwa solat Jumaat di Kampung Parit sebagai amalan bidaah.
Ketiga-tiga mereka ditahan di maahad itu mengikut Seksyen 52 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan kerana melakukan perbuatan bertentangan dengan hukum syarak.
Berikutan laporan Utusan Malaysia hari ini, Hazman membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Pilah pada pukul 11.10 pagi ini dan bercadang untuk mengemukakan saman terhadap akhbar ini.
Sementara itu, Norhayati dan Mohamad Kamel pada sidang media itu turut menafikan tuduhan terhadap maahad tersebut dan berkata, pusat pengajian ini pernah terlibat dalam perjuangan menuntut kemerdekaan.
Kata mereka, semua penduduk di sekitar kawasan itu tidak pernah bangkit menentang kerajaan sebaliknya memberikan sokongan penuh kepada kerajaan Barisan Nasional (BN).
No comments:
Post a Comment