Tuesday, June 21, 2011

Khairy Mahu Ibrahim Ali Disiasat

KUALA LUMPUR: Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin mahu Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) disiasat di bawah Akta Hasutan kerana didakwa mengeluarkan kenyataan bersifat rasis terhadap kaum Cina.

Khairy berkata, Ibrahim tidak wajar mengeluarkan kenyataan berunsur perkauman yang mengugut kaum lain.

“Saya mengutuk sekeras-kerasnya kenyataan yang dikeluarkan oleh Ibrahim Ali yang seolah-olah mengugut masyarakat Cina.

“Ini kenyataan yang rasis, menghasut, bahaya yang perlu diambil tindakan terhadap beliau. Ini adalah satu ugutan terhadap satu-satu kaum di Malaysia, secara jelas dan nyata,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, Isnin.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas yang memberi amaran kepada kaum Cina agar jangan keluar dan menyertai Perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai ini atas alasan ‘apa sahaja boleh berlaku dan mereka perlu simpan bekalan makanan yang secukupnya pada tarikh tersebut.’

Pada Ahad, Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Bebas Pasir Mas bersama 164 badan bukan kerajaan (NGO) melancarkan “perang” terhadap Himpunan Bersih 2.0 dengan membakar gambar Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) Datuk S. Ambiga.

Ibrahim menegaskan, perhimpunan anti-Bersih 2.0 yang bakal diadakan serentak akan diteruskan dan beliau tidak akan bertanggungjawab atas sebarang insiden tidak diingini.

Mengulas lanjut perkara tersebut, Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata, kenyataan Ibrahim tidak mewakili suara majoriti Ahli Parlimen Melayu di negara ini.

“Orang Melayu di Malaysia bangsa yang mulia dan kita tidak akan buat apa yang Ibrahim buat sekarang ini. Kita hidup dalam keadaan harmoni di negara ini. Pemuda Umno juga tidak bersetuju dengan kenyataan tersebut,” katanya.

Perhimpunan Bersih 2.0 akan diadakan di tiga lokasi iaitu pusat membeli belah Sogo, Masjid Kampung Baru dan Bangunan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Dianggarkan lebih 57 pertubuhan bukan kerajaan (NGO), akan menyertai perhimpunan tersebut.

Selain itu, Perkasa dan Pemuda Umno turut melancarkan demonstrasi pada tarikh yang sama bagi membantah perarakan tersebut.

mStar Online : Khairy Mahu Ibrahim Ali Disiasat

No comments:

Post a Comment