Tuesday, June 21, 2011

Khir Sokong Permohonan Syarikat Shamsuddin

SHAH ALAM: Bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo dikatakan telah memberi sokongan kepada permohonan yang dibuat oleh Pengarah Ditamas Sdn Bhd, Shamsuddin Hayroni kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) berhubung satu projek pembangunan.

Bekas Pengurus Besar PKNS, Datuk Harun Salim, 62, berkata, sokongan itu diberikan kepada Roniaga Sdn Bhd - turut dimiliki oleh Shamsuddin - yang memohon untuk bekerjasama dengan PKNS bagi memajukan tanah di Seksyen 3 Tambahan, Bandar Baru Bangi, dekat sini, yang berkonsepkan bandar universiti.

Saksi pendakwaan ke-11 itu seterusnya mengecamkan satu tulisan tangan bertulis 'permohonan disokong dan harap tiada halangan' pada surat permohonan Roniaga bertarikh 30 Oktober 2000, sebagai tulisan Mohamad Khir.

Turut dicamkan ialah tandatangan yang terdapat di bawah tulisan tangan itu sebagai milik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sungai Panjang tersebut.

"Itu tandatangan MB, saya cam. Saya agak biasa lihat," katanya pada pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Masri Mohd Daud.

Pada keterangan lain, Harun juga memberitahu Mohamad Khir turut memberikan sokongan kepada permohonan lanjutan masa yang dimohon oleh Roniaga apabila tidak dapat menyiapkan projek pembangunan tersebut mengikut masa yang ditetapkan.

Saksi menambah, pada surat itu terdapat tulisan tangan yang menyatakan 'syarikat ini adalah syarikat bumiputera dan mempunyai rekod baik serta tidak mendatangkan masalah'.

"Surat permohonan lanjutan masa bertarikh 15 Mei 2006, sedangkan projek sepatutnya disiapkan pada 8 Mei 2006.

"Roniaga mohon diberikan lanjutan tempoh sehingga tiga tahun, iaitu sehingga 31 Disember 2009.

"Permohonan dibawa ke mesyuarat Jawatankuasa Penswastaan PKNS dan diluluskan untuk dilanjutkan selama dua tahun, iaitu sehingga 2008," katanya.

Jawatankuasa Penswastaan PKNS dipengerusikan oleh Mohamad Khir.

Pada perbicaraan yang masuk hari ketujuh hari ini, Harun juga memberitahu, bahawa Roniaga ada menghantar surat agar PKNS mempertimbangkan semula syarat berhubung bon pelaksanaan.

Saksi menambah, jawatankuasa kemudiannya bersetuju agar bon pelaksaan digantikan dengan 'director shareholders guarantee' yang ditandatangani antara PKNS dan Roniaga.

Sementara itu, menjawab soalan peguam M. Athimulan yang mewakili Mohamad Khir, saksi bersetuju bahawa Mohamad Khir tidak mempunyai sebarang penglibatan dalam perjanjian antara PKNS dan Roniaga.

Athimulan: Kelulusan oleh Jawatankuasa Penswastaan kepada Roniaga adalah berdasarkan perkara-perkara yang akan membawa keuntungan kepada PKNS mengikut syarat kepada syarikat-syarikat lain?

Harun: Ya.

Athimulan: Tidak ada kelonggaran diberikan pada mana-mana syarikat?

Harun: Tidak boleh, ia salah dan tidak pernah.

Athimulan: Tidak ada dasar pilih kasih? Jika syarikat tidak layak, ia tidak akan diluluskan?

Harun: Ya.

Mohamd Khir, 45, didakwa mendapatkan untuk diri dan isterinya, Zahrah Kechik, 45, suatu barangan berharga iaitu dua lot tanah dan sebuah rumah di No. 8 & 10, Jalan Suasa 7/1L, di Shah Alam daripada Ditamas Sdn Bhd (Ditamas) melalui pengarahnya, Shamsuddin.

Hartanah tersebut yang terletak di Seksyen 7 di sini diperoleh dengan harga RM3.5 juta sedangkan ia dibeli oleh Ditamas pada 23 Disember 2004 dengan harga RM6.5 juta.

Perbuatan itu didakwa dilakukan dalam keadaan Mohamad Khir mengetahui bahawa Shamsuddin mempunyai hubungan dengan tugas rasmi beliau sebagai Menteri Besar Selangor pada ketika itu.

Mohamad Khir, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Panjang, didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7 di sini pada 29 Mei 2007.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Wira Mohtaruddin Baki bersambung Selasa.

mStar Online : Khir Sokong Permohonan Syarikat Shamsuddin

No comments:

Post a Comment