Sunday, January 15, 2012

Bukan mudah tawan Putrajaya – Hadi



PEMIMPIN tertinggi pembangkang melafazkan ikrar perjuangan pada Konvensyen Pakatan Rakyat Ke-3 di Stadium Sultan Abdul Halim Muadzam Shah, Alor Setar, Kedah, semalam. – MINGGUAN/KAMAL BASIR


ALOR SETAR 14 Jan. - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengakui bahawa usaha pembangkang untuk menawan Putrajaya bukan sesuatu yang mudah kerana pakatan itu diibaratkan melalui jalan bersimpang-siur yang menghadapi pelbagai masalah trafik.

Beliau berkata, pakatan pembangkang juga berdepan dengan rakyat sebagai hakim menentukan parti yang akan menang pada pilihan raya umum akan datang.

“Masalah seperti isu kebebasan media dan senarai daftar pengundi yang bersih juga perlu diselesaikan terlebih dahulu oleh kerajaan,” katanya pada sidang akhbar selepas perasmian Konvensyen Pakatan Rakyat di Stadium Sultan Abdul Halim, di sini hari ini.

Turut hadir, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Abdul Hadi ditanya mengenai kecenderungan rakyat ketika ini yang dilihat seolah-olah sudah bosan dengan tindak-tanduk pakatan pembangkang berulang kali menyatakan hendak menawan Putrajaya.

Beliau berkata, pakatan pembangkang tidak boleh mengelak daripada menyebut hendak menawan Putrajaya kerana ia adalah matlamat akhir mereka.

Katanya, rakyat dan negara memerlukan pembaharuan dalam politik kerana pentadbiran Barisan Nasional (BN) mempunyai banyak kekotoran yang perlu dibersihkan.

Sementara itu, Wan Azizah berkata, pilihan raya umum akan datang amat penting untuk membebaskan negara daripada BN.

Guan Eng pula memberitahu, jika pakatan pembangkang tidak berjaya menawan Putrajaya pada pilihan raya akan datang, negara akan menghadapi pelbagai krisis dalaman.

Utusan Malaysia Online - Politik:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment