Sunday, January 15, 2012

Umum keputusan isu fidlot tidak lama lagi

KANGAR: Beberapa tindakan bakal diumumkan dalam tempoh terdekat bagi menyelesaikan isu berhubung projek Pusat Fidlot Nasional (NFC) yang menyelubungi Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Jalil.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, isu berkenaan sebenarnya ditokok tambah dan disalah tafsir oleh rakyat melalui media sosial, di mana satu tindakan penyelesaian menyeluruh diperlukan.


“Dalam masa terdekat, kerajaan akan mengumumkan keputusan (berhubung) tindakan bagi menyelesaikan perkara berkenaan yang sering disalah erti masyarakat sehingga menimbulkan pandangan negatif.

“Perkara ini akan diselesaikan sehingga ke penghujung dan tindakan yang diambil akan diumumkan dalam tempoh tertentu. Malah, tindakan diambil adalah sewajarnya,” katanya pada sidang media selepas majlis jamuan makan bersama rakyat, di sini, semalam.


Menurutnya, tindakan yang akan diambil juga mengambil kira semua faktor dan tempoh berdasarkan siasatan polis serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang masih berjalan.


Katanya, laporan siasatan penuh yang akan dikeluarkan SPRM dan polis juga akan digunakan bagi mengenal pasti tindakan sesuai yang perlu diambil.

“Segala laporan dikeluarkan SPRM dan polis akan menjadi panduan kerajaan mengenal pasti bentuk tindakan yang akan diambil serta dimaklumkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bagi diteliti terlebih dulu,” katanya.


Hadir sama ialah Menteri Besar, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan pemimpin Barisan Nasional (BN) negeri.

Muhyiddin berkata, beliau berjumpa Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar bagi membincangkan isu itu beberapa hari lalu dengan disertai pegawai serta penasihat undang-undang kementerian.

myMetro | Umum keputusan isu fidlot tidak lama lagi:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment