guan eng
GEORGETOWN - Ketua Menteri, Lim Guan Eng bersedia untuk disaman oleh pemimpin Barisan Nasional (BN) yang mentadbir Pulau Pinang sebelum ini, daripada menarik balik kenyataannya mahupun memohon maaf.

Beliau mencabar Pengerusi Jawatankuasa Kerja BN Pulau Pinang, Datuk Dr Teng Hock Nan untuk memfailkan saman terhadapnya atau Kerajaan Negeri jika tidak puas hati dengan pendedahan Skandal Tanah Tan Hak Ju menerusi Jawatankuasa Siasatan Khas Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK).

“Saya tidak akan meminta maaf dan menarik kenyataan atas Skandal Tanah Tan Hak Ju, di mana hasil siasatan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat (PR) mendapati wujud kes penipuan tanah,” katanya.

Guan Eng berkata wang pampasan RM500,000 yang ditetapkan Mahkamah Rayuan berbanding keputusan Mahkamah Tinggi untuk pampasan RM40 juta kepada Hak Ju, bukan isu yang perlu dipertikaikan kerana Kerajaan Negeri PR tetap rugi dan perlu membayarnya.

“Dalam hal ini, saya tidak jelas mengapa Dr Teng mendesak saya minta maaf dan menarik balik kenyataan. Pada hal, pampasan dibayar atas kesilapan Kerajaan Negeri BN kerana meluluskan lot tanah persendirian yang bukan miliknya kepada Hak Ju.

“Bagaimanakah sebuah Kerajaan Negeri boleh membuat kesilapan sehingga meluluskan tanah persendirian kepada Hak Ju. Padahal, Kerajaan Negeri langsung tidak berkuasa berbuat demikian. Lagipun, hal ini terdedah selepas tampuk kepimpinan diambil alih oleh PR,” katanya kepada media selepas merasmikan Pasar Awam, Pulau Tikus, di sini, semalam.

Menurutnya, selepas Kerajaan Negeri PR menubuhkan Jawatankuasa Siasatan Khas MKK yang dipengerusikan Timbalan Ketua Menteri 11, P Ramasamy menyiasat perkara itu dan mendapati urus niaga tanah berkenaan adalah satu penipuan.

“Ia dianggap berlaku atas kecuaian pihak pegawai kerajaan,” katanya.

Guan Eng berkata jika ia satu skandal, kenapa Kerajaan Negeri yang terajui BN menutup kes itu dan tidak mendedahkannya kepada orang awam.

“Kenapa sehingga sekarang Dr Teng mahupun Exco BN dahulu tidak pernah minta maaf dengan penduduk Pulau Pinang atas kesilapan dilakukan sehingga membawa kerugian wang orang ramai. Tetapi kini ia bersandiwara dan mahu Kerajaan Negeri PR minta maaf.

“Setakat ini, Kerajaan Negeri PR sudah membayar RM15 juta kepada mahkamah. Ia amat merugikan wang yang sepatutnya digunakan untuk pembangunan dan kebajikan rakyat. Adakah, Dr Teng akan membayar balik RM15 juta yang diserahkan kepada Hak Ju,” katanya.

Justeru, sebagai sebuah negeri yang mengamalkan prinsip urus tadbir cekap, akauntabiliti dan telus, Kerajaan Negeri PR mengambil inisiatif melantik peguam untuk memfailkan rayuan.

Menurutnya, selepas mengemukakan rayuan beberapa kali, baru Kerajaan Negeri PR berjaya mengurangkan jumlah pampasan. Itu pun, masih belum mendapat keputusan muktamad kerana dijangka Hak Ju membuat rayuan di Mahkamah Persekutuan.

“Saya tegas bahawa keputusan mahkamah belum muktamad kerana kes ini dijangka bersambung di Mahkamah Persekutuan. Kita tidak tahu lagi, apakah keputusan akhir dalam kes ini. Oleh itu, kita perlu tunggu,” katanya.

Kelmarin, Sinar Harian melaporkan Dr Teng menggesa Kerajaan Negeri PR supaya ‘bersuara’ setelah didapati mendiamkan diri apabila Mahkamah Rayuan Putrajaya mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi berhubung kes penipuan tanah Tan Hak Ju minggu lalu.