KUALA LUMPUR 21 Jan. – Sikap pengguna jalan raya melakukan kesalahan lalu lintas ternyata masih tidak berubah apabila sebanyak 100,773 saman dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sepanjang lima hari Ops Sikap Ke-25, berbanding 55,578 saman dikeluarkan dalam tempoh sama pada operasi tahun lalu.
Notis saman itu dikeluarkan PDRM membabitkan kesalahan-kesalahan yang sering dilakukan pemandu seperti memandu melebihi had laju, memandu di lorong kecemasan, memotong garisan berkembar, melanggar lampu isyarat dan menggunakan telefon bimbit ketika memandu.
Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Salleh Mat Rasid berkata, jumlah saman yang melebihi 100,000 itu menyaksikan peningkatan sebanyak 50 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.
Beliau berkata, keadaan itu membuktikan sikap pengguna-pengguna jalan raya di negara ini masih tidak berubah dan mementingkan diri sendiri.
“Sikap pemandu seperti menggunakan lorong-lorong kecemasan untuk memotong dan memotong di garisan berkembar, masih dilakukan walaupun pelbagai amaran dan nasihat diberikan pihak berkuasa.
“Pengguna jalan raya hanya akan mematuhi peraturan sekiranya mereka menyedari kehadiran pihak polis di kawasan tersebut,” katanya kepada pemberita ketika membuat lawatan tapak Ops Sikap Ke-25 di Hentian Sungai Buloh, di sini hari ini.
Salleh memberitahu, sepanjang lima hari Ops Sikap Ke-25, ia menunjukkan peningkatan kadar kemalangan sebanyak 8.5 peratus iaitu 6,602 kes berbanding 6,083 kes dalam tempoh sama pada tahun lalu.
Katanya, jumlah kematian namun menurun kepada satu kes iaitu 58 orang, berbanding 59 orang dalam tempoh sama pada tahun lalu.
Dalam pada itu, beliau berkata, PDRM akan menawarkan ganjaran berupa hadiah kepada pemandu-pemandu bas yang mematuhi segala peraturan serta memandu dalam keadaan berhemah.
“Pemeriksaan akan dilakukan ke atas kenderaan berat itu seperti brek, lampu selain pemantauan had laju dan berdasarkan rekod,” ujarnya.
Beliau berkata, usaha itu diharap dapat mengelakkan kemalangan melibatkan bas selain memupuk rasa tanggungjawab ke atas pemandu dan syarikat pengusaha bas itu sendiri.
No comments:
Post a Comment