Saturday, January 21, 2012

Meracau tengah malam


KUALA LUMPUR: “Saya terkena sihir (buatan orang) sejak dua bulan lalu menyebabkan bahagian kanan perut sakit sehingga sukar berjalan dan tidur selain mengalami kesakitan teramat sangat di bahagian pinggang. Pengamal perubatan Islam memaklumkan saya disihir dengan dihantar jin,” kata pelakon, Abby Abadi, 35.
Beliau seorang lagi selebriti tampil mendedahkan kejadian pelik yang dialaminya dipercayai perbuatan pihak tidak bertanggungjawab.

Kelmarin penyanyi rock Awie mendedahkan dia menjadi mangsa perbuatan pihak tertentu yang menghantar ‘santau tuju-tuju’ kepadanya menyebabkan kesihatannya terganggu dan mengalami kejadian pelik termasuk muntah mengandungi jarum dan bulu ayam.

Semalam, Amy Search pula dilaporkan hilang suara akibat terkena buatan orang.

Menurut Abby, kejadian pelik menimpanya itu berlaku sejak dua bulan lalu menyebabkan dia sukar tidur dan sering meracau pada waktu malam. Akibat menahan kesakitan, katanya, dia sering menangis selepas terjaga daripada tidur.

“Bimbang dengan kesakitan dialami, saya ke hospital dua kali November lalu, namun doktor memberitahu saya tidak mengalami sebarang penyakit. “Doktor turut membuat pemeriksaan badan dan memberikan suntikan, namun kesakitan itu terus menjadi-jadi,” katanya.


Menurut Abby, dia mencari alternatif mengubati penyakit itu dengan berjumpa lima pengamal perubatan Islam di Selangor, Melaka dan ibu kota termasuk mendapatkan rawatan daripada keluarga pelakon, Ashraf Muslim di Gombak.

“Kelima-lima pengamal terbabit memberitahu saya terkena sihir apabila individu yang dengki menghantar jin untuk mengganggu kehidupan saya. Saya mengalami kesakitan hanya bahagian dalaman badan tetapi tiada luka di luaran,” katanya.

Abby berkata, sebelum ini dia tidak pernah menyakiti hati atau memusuhi sesiapa selain tidak pernah mempercayai unsur mistik, namun kejadian pertama kali menimpanya itu membuatkan dia membuka mata mempercayainya.

“Ketika mendapatkan rawatan di perubatan Islam, saya mendapati ramai individu yang difahamkan terkena sihir. Perkara ini semakin serius dan menjadi-jadi di kalangan masyarakat kita,” katanya.

Menurut Abby, dia tidak mahu menuding jari kepada sesiapa kerana sehingga kini tidak tahu siapa dalang sebenar melakukan perkara itu.

“Saya menganggap apa terjadi adalah ujian Allah s.w.t kerana Dia mahu saya sentiasa dekat dengan-Nya. Saya tidak mahu memanjangkan perkara ini dan biarlah si pelaku menjawab dengan Allah di akhirat kelak.

“Saya harus tabah dan gagahkan diri dengan semua ujian yang datang tambahan pula harus mencari rezeki bagi menyara tiga anak,” katanya.

Kata Abby, ketika terkena serangan penyakit misteri itu, dia tidak dapat berjalan malah hanya mampu tertunduk-tunduk seperti orang tua.

“Ustaz ada menasihati saya, untuk mengubati penyakit ini saya harus memperbanyakkan solat istikharah dan berzikir. Setakat ini keadaan saya semakin pulih, namun saya bimbang pada masa depan saya akan diserang semula,” katanya.

No comments:

Post a Comment