Wednesday, January 18, 2012

Putrajaya lantik firma perunding audit projek NFC

KUALA LUMPUR - Kerajaan berhasrat untuk melantik sebuah firma perunding perakaunan untuk menjalankan satu penelitian wajar dan audit projek Pusat Fidlot Nasional (NFC) - projek lembu daging yang kontroversi.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, bagi melindungi kepentingan kerajaan, firma perunding itu akan membuat penelitian dan audit projek dari segi penggunaan dana pinjaman, pengurusan dan kewangan projek tersebut.

"Tugasan ini dijangka akan dimuktamadkan dalam tempoh sebulan," katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Dipetik Bernama, Muhyiddin berkata, National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp) iaitu satu syarikat usahasama di antara Agroscience Industries Sdn Bhd dengan kerajaan telah diberi mandat sebagai integrator projek NFC.
Berikutan daripada itu, kerajaan memberi pinjaman mudah sebanyak RM250 juta kepada syarikat berkenaan bagi melaksanakan projek tersebut dan setakat ini sejumlah RM181 juta telah dikeluarkan.
Sabtu lepas, Muhyiddin berkata kerajaan akan mengumumkan langkah-langkah mengatasi isu yang melanda Perbadanan Fidlot Kebangsaan ini dalam masa terdekat.

Isu NFC timbul apabila Laporan Ketua Audit Negara 2010 pada Oktober lepas menyatakan perbadanan itu gagal memenuhi matlamat penubuhannya.

No comments:

Post a Comment