Wednesday, January 18, 2012

‘Usah nak ugut lagi’

KUALA LUMPUR: “Tolong jangan ugut kerajaan lagi,” kata Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN), Khairy Jamaluddin mengenai kenyataan Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Datuk S Ambiga yang akan mengadakan perhimpunan haram Bersih sekali lagi bagi menuntut pilihan raya bersih dan adil di negara ini jika cadangan mereka mengenai reformasi pilihan raya gagal dilaksanakan.
Khairy yang juga Ketua Pemuda Umno mempersoalkan tindakan Ambiga mahu menganjurkan perhimpunan haram Bersih 3.0 kerana banyak permintaan Bersih sudah ditunaikan kerajaan.

“Apa faedahnya menganjurkan Bersih 3.0? Kita sudah menunaikan banyak permintaan mereka termasuk menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Khas Penambahbaikan Pilihan Raya (PSC) yang turut dianggotai Pas, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP dan menggunakan dakwat kekal dalam Pilihan Raya Umum (PRU) nanti.

“Selain itu, Suruhanjaya Pilihan Raya juga bersetuju untuk membersihkan senarai pemilih,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di majlis prapelancaran Pesta Kayuhan Pemuda BN di sini, semalam.

Media semalam melaporkan kenyataan Ambiga mahu mengadakan kembali perhimpunan haram Bersih kerana bimbang kerajaan tidak akan mempertimbangkan syor dan cadangan dikemukakan PSC bagi pembaharuan pilihan raya di negara ini.

Khairy berkata, kenyataan Ambiga mahu mengadakan kembali perhimpunan haram Bersih dilihat seperti mengugut kerajaan yang kononnya tidak menunaikan permintaan mereka.


“Kita (kerajaan) pun nak menang dalam PRU yang adil. Lagipun kerajaan tahu apa yang perlu dibuat,” katanya.

Sementara itu, Pesta Kayuhan Pemuda BN anjuran Pemuda BN dengan kerjasama Persatuan Berbasikal Kuala Lumpur itu akan diadakan selama dua hari pada 17 dan 18 Februari depan yang memberi peluang kepada orang ramai menyertai aktiviti berbasikal dari Dataran Pahlawan, Melaka ke Dataran Merdeka, di sini, sejauh kira-kira 140 kilometer.

Khairy berkata, aktiviti itu diadakan berikutan aktiviti berbasikal yang semakin popular terutama di kalangan generasi muda selain memupuk semangat 1Malaysia di kalangan generasi muda tanpa mengira kaum dan agama.

No comments:

Post a Comment